Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan kontraktor bidas MCA kerana hina Melayu
Diterbitkan:  Aug 3, 2011 9:31 AM
Dikemaskini: 1:41 AM

Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang mendakwa MCA menghina kemampuan dan keupayaan kontraktor bumiputera apabila parti itu mempertikaikan pemberian kontrak kepada mereka.

“Nampaknya MCA begitu jahil sekali kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri, termasuk yang melebihi harga RM200,000.00 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti.

“Dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah MCA bersifat perkauman dengan memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?” kata pemangku yang dipertua persatuan itu Datuk Izham Merican dalam satu kenyataan media.

NONE Sebaliknya, beliau memuji dan menyanjungi ketua menteri Lim Guan Eng ( kiri ) yang bersikap profesional tanpa mencampur aduk politik dan kaum dalam usaha membantu rakyat, di samping sering menyatakan pendirian berdasarkan fakta dan maklumat yang benar.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang kerana menuduh Lim sebagai anti-Cina semata-mata kerana kerajaan negeri, di bawah sistem tender terbuka, telah meluluskan projek kepada kontraktor bumiputera.

Izham juga mengingatkan MCA supaya sedar bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, termasuk dalam masyarakat Cina sendiri.

Secara adil

Katanya, dalam sistem tender terbuka, pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengenepikan kaum lain.

“Saya sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Pemangku Yang Dipertua telah berjumpa dengan ketua menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh ketua menteri.

“Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan ketua menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran ketua bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini.

construction workers 250209 02 “Saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum bumiputera tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman,” katanya.

Menurut Izham, walau pun persatuannya  mempunyai ahli-ahli dari berbagai-bagai parti, termasuk Umno, perjuangan mereka adalah khusus untuk membela warga kontraktor.

Katanya, banyak kontraktor Melayu telah gulung tikar dan pihaknya merayu kepada kerajaan pusat supaya dapat membantu menangani masalah itu.

“Seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak ditawarkan kepada bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan pembekal-pembekal adalah bukan bumiputera dan golongan pekerja-pekerja juga kebanyakan bukan kaum bumiputera.

“Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang kepada kaum-kaum lain,” katanya.

ADS