Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru tertoreh kepala pelajar ketika bergelut
Diterbitkan:  Aug 4, 2011 5:18 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang guru dalam kejadian tengah hari semalam.

    

Akibat kejadian 12 tengah hari itu, Mohd Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya, manakala guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar itu melanggar arahan guru lelaki tersebut yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

    

Berang dengan perbuatan pelajar itu, guru terbabit menjejaki Mohd Hafirza sambil tangannya memegang sebilah pisau kecil, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu hari ini.

    

"Guru  itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit," katanya.

    

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    

Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Ibrahim, 49, yang ditemui pemberita, berkata beliau kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru terbabit.

    

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi ustaz terbabit mengajar di sekolah berkenaan kerana risau peristwa yang terjadi kepada anak saya akan berulang kepada pelajar lain," katanya.

- Bernama

ADS