Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai penyiasat: Sarbani diklasifikasi mati mengejut
Diterbitkan:  Aug 4, 2011 9:11 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa kematian penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed tiada unsur dibunuh atau membunuh diri, sebaliknya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    

ASP Zuhairi Mohamed, pegawai penyiasat kes Ahmad Sarbaini berkata beliau percaya punca kematian Ahmad Sarbaini disebabkan beliau terjatuh dari tempat tinggi.

    

Katanya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan 57 saksi, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, kastam, pakar patologi, pegawai forensik, ahli kimia, anggota polis, anggota keluarga dan rakan Allahyarham.

    

Zuhairi, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Perundangan dari Ibu pejabat Polis Daerah Cheras menyatakan demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

    

Zuhairi berkata sampel cat yang ditemui pada seluar mangsa juga berpadanan dengan dinding tingkap di bilik pantri, aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, yang dipercayai mangsa terjatuh.  

    

"Ada sebab dan akibat kenapa mangsa (Ahmad Sarbaini) keluar dari tingkap bilik pantri berkenaan, tetapi sehingga ke hari ini saya tidak mendapat jawapan dan tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang nampak mangsa berbuat demikian," katanya.  

Menjawab soalan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM tentang sama ada Zuhairi berpuas hati dengan hasil siasatan yang dilakukannya, pegawai polis itu berkata:

    

"Pada saya siasatan yang dilakukan hanya 90 peratus lengkap kerana saya masih tidak mengetahui kenapa Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap itu.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lepas.  

    

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Zuhairi, saksi ke-34 inkues berkata kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh dikaitkan dengan membunuh diri kerana tidak ditemui nota bunuh diri atau kecederaan oleh pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa yang membuktikannya berbuat demikian.

    

Beliau juga menafikan terdapat unsur jenayah dilakukan terhadap Ahmad Sarbaini kerana dalam bedah siasat yang dijalankan oleh patologi tidak ditemui kecederaan akibat dipukul atau kesan mempertahankan diri.

    

Sementara itu, Zuhairi turut mengesahkan isteri Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah Manap ada membuat laporan polis kedua berhubung artikel yang ditulis oleh Raja Petra Kamarudin (RPK) bertajuk "Ahmad Sarbaini's Death: The Lies and Deception by the MACC (Part 7), dalam blog Malaysia Today, pada 20 Julai lepas.

    

Dalam laporan itu, Masiah mendakwa pegawai SPRM bertanggungjawab atas kematian suaminya selepas beliau membaca artikel berkenaan dan yakin suaminya tidak membunuh diri tetapi wujud "foul play" dalam siasatan polis.

    

Ketika disoal Muhammad Shafee adakah dalam penyiasatan yang dilakukan terdapat keterangan daripada mana-mana saksi yang menyokong "cause of death" seperti yang dinyatakan oleh RPK dalam artikel itu?

    

Zuhairi berkata: "Saya tidak tahu bagaimana RPK boleh mendapat cerita mengenai sebab kematian Ahmad Sarbaini kerana tiada keterangan sedemikian dan saya berpendapat ini adalah andaiannya sendiri".

Terdahulu, ahli Kimia Dr Seah Lay Hong dari Jabatan Kimia Malaysia memberitahu mahkamah bahawa analisis terhadap barang kes termasuk dua helai stokin, seluar, baju dan belakang tapak tangan si mati (Ahmad Sarbaini) hanya menemui dua kesan DNA daripada dua orang asing yang tidak dikenali.

    

"Kemungkinan dua DNA berkenaan adalah milik ahli kimia yang menjalankan analisis atau patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.

    

Bagaimanapun Dr Seah memberitahu mahkamah beliau ada menerima sampel DNA daripada ASP Zuhairi dan hasil analisis yang dijalankan mendapati dua DNA berkenaan sepadan dengan DNA yang ditemui pada si mati.

    

"Dua DNA itu adalah milik Soo Chew Kheong yang dibedah pada 5 April lalu dan Lum Chee Weng yang dibedah pada 6 April lalu. Perkara ini berlaku berikutan mangsa (Ahmad Sarbaini) dibedah di atas meja yang sama digunakan oleh kedua-dua mayat itu menyebabkan DNA Soo dan Lum melekat pada badan Ahmad Sarbaini," katanya.

    

Sementara itu, prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahamad Sarbaini yang bermula pada 4 Julai lepas berakhir hari ini selepas ASP Zuhairi memberi keterangan.

   

Koroner Aizatul Akmal Maharani kemudian menetapkan tarikh pada atau sebelum 25 Ogos ini bagi pihak yang terlibat memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan keputusan inkues akan diumum pada 26 September.

   

"Tidak diwajibkan hujahan dalam inkues, tetapi saya mengalu-alukan pihak yang terlibat untuk memfaikan hujahan kerana ia akan membantu siasatan," katanya.

Sepanjang perbicaraan selama 13 hari itu, seramai 34 saksi memberi keterangan termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, pegawai forensik, beberapa pegawai Kastam dan juga isteri Allahyarham, Masiah@Maziah Manap.

   

Pada 5 Julai lepas, Aizatul Akmal yang diiringi Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Hanim Mohd Rashid, Noor Amalina Mohd Rashid, Azlina Rasdi melawat lokasi kejadian di mana mayat Ahmad Sarbaini ditemui.

   

Turut serta ialah peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM serta peguam Awtar Singh yang mewakili keluarga Allahyarham.

   

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April lepas. 

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

- Bernama

ADS