Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB arah exco tutup mulut isu JAIS serbu gereja
Diterbitkan:  Aug 5, 2011 1:13 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengeluarkan larangan kepada semua anggota exco negeri itu supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja.

NONE Khalid yang kesal dengan kejadian tersebut berkata, beliau juga akan mengadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat berhubung tindakan JAIS dalam operasi melibatkan Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya itu.

Beliau juga masih menunggu laporan daripada JAIS untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, kata Khalid lagi dalam satu kenyataan hari ini.

"Sehingga tindakan ini diambil dan isu diselesaikan, semua ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor dilarang dari membuat sebarang kenyataan berkenaan isu ini.

“Seperti yang kami katakan semalam kami kesal dengan kejadian tersebut," katanya lagi yang mahu supaya golongan yang terkesan dalam operasi berkenaan mendapat keadilan.

“Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat,” katanya lagi.

NONE Khalid sebelum ini telah menghubungi seorang paderi kanan di gereja berkenaan, Pastor Daniel Ho bagi menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

Beliau juga telah meminta JAIS menyediakan laporan penuh berhubung insiden berkenaan termasuk sebab serbuan berkenaan dijalankan.

 

Kenyataan terbaru menteri besar hari ini timbul selepas exco hal ehwal agama Islam, Datuk Dr Hasan Ali mengemukakan penjelasannya semalam berhubung tindakan JAIS itu.

Hasan berkata, "pemeriksaan" ke atas gereja berkenaan pada malam Rabu lalu dijalankan berdasarkan "bukti" berlakunya kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Penjelasan berkenaan bagaimanapun tidak dapat memuaskan hati pemimpin PAS, termasuk timbalan pesuruhjaya negeri Khalid Samad yang mahu Hasan mengemukakan bukti berkenaan.

ADS