Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seorang maut tanah runtuh di Cameron Highlands
Diterbitkan:  Aug 7, 2011 11:13 PM
Dikemaskini: Aug 8, 2011 12:38 AM

Seorang wanita terkorban manakala dua lelaki cedera parah dalam satu kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, lewat petang tadi.

    

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang tersebut melibatkan lima buah rumah penduduk kampung.

    

"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

    

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

    

Usaha mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh itu, jika berlanjutan, nampaknya perlu diteruskan dalam keadaan hujan dan ribut petir yang diramal di Cameron Highlands tengah hari esok.

    

Menurut ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia di laman sesawangnya hari ini, tiada hujan pada sebelah pagi bagaimanapun, hujan dan ribut petir dijangka melanda tengah hari esok.

    

Hujan turut diramal pada sebelah malam, dengan suhu antara 17 dan 24 darjah celsius sepanjang hari.

    

Purata taburan hujan di kawasan Cameron Highlands dalam tempoh antara 8 pagi semalam dan 8 pagi ini berada pada tahap 10mm.

    

Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama malam ini berkata bahawa purata taburan hujan antara 50mm dan 70mm dalam tempoh 24 jam merupakan tahap amaran hujan lebat.

    

Sehingga kini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang perempuan cedera parah dalam kejadian tanah runtuh itu yang punca kejadian belum diketahui.

- Bernama

ADS