Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertanggungjawab untuk memberi laporan kepada kerajaan negeri berhubung serbuannya ke atas premis milik sebuah gereja minggu lalu.

Khalid menjelaskan, secara prinsip, JAIS merupakan satu jabatan di dalam pentadbiran negeri manakala ketua bagi agama Islam merupakan Sultan Selangor.

"Tapi JAIS perlu menjalankan aktivitinya dalam ruang lintup enakmen Selangor, berhubung (hal ehwal) agama," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tegasnya, enakmen berkenaan membolehkan JAIS melaporkan kepada kerajaan negeri.

"Sebab itu kerajaan negeri memberi arahan kepada mereka untuk mendapatkan laporan terperinci," katanya lagi.

Laporan berkenaan setakat ini masih belum diperolehi kerajaan negeri kerana JAIS masih berdepan masalah untuk mendapatkan keterangan daripada 12 orang Islam yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menerima surat daripada peguam yang mewakili 12 orang berkenaan.

"(Surat berkenaan) menjelaskan tanggungjawab mereka dalam memanggil 12 orang yang ingin ditemui JAIS," kata Khalid lagi yang menjangkakan laporan terperinci akan dapat diperolehi "sebelum habis hari raya."

"Kerajaan negeri menyerahkan kepada penasihat undang-undang JAIS untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini," katanya lagi.

Ditanya sejauh manakah kesediaan JAIS untuk menyerahkan laporan berkenaan, Khalid berkata soalan berkenaan sepatutnya diajukan kepada jabatan itu sendiri.

Khalid turut meminta media supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kontroversi yang timbul ekoran tindakan JAIS yang menjalankan pemeriksaan ke atas Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos lalu.

ADS