Suhu bangunan k'jaan tidak kurang 24 darjah celsius

Suhu di semua bangunan kerajaan akan ditetapkan tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Seri, Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuatkuasa selepas surat pekeliling mengenainya dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius.

"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Chin berkata suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.

"Kami tetapkan 24 darjah celcius. Kalau kita turunkan kepada 23 darjah celsius, bermakna kita perlu meningkatkan perbelanjaan daripada 4 kepada 7 peratus," katanya.

Chin berkata, tahap suhu itu sudah pun dilaksanakan di kementeriannya dan ia menjimatkan sehingga RM700,000 setahun untuk keseluruhan bil elektrik.

Katanya, pihaknya juga sedang merangka draf undang-undang untuk dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat bagi membolehkan kerajaan menguatkuasakan arahan tersebut pada bangunan milik swasta.

"Kita berharap menjelang 2013, semua bangunan swasta dapat mengikut peraturan yang ditetapkan pada bangunan kerajaan itu," katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu juga, Perdana Menteri meminta semua jabatan kerajaan menukar penggunaan mentol lampu sedia ada kepada penggunaan jenis mentol lampu yang lebih cekap tenaga secara berperingkat.

"Perdana Menteri juga mengarahkan supaya pelan hala tuju teknologi hijau secara terperinci disediakan bagi membantu perkembangan teknologi hijau di negara ini," katanya.

Mengenai komitmen kerajaan untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020, Uggah berkata usaha itu berjalan lancar dan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Setakat ini, kami sudah mengurangkan tahap intensiti karbon sebanyak 29.7 juta tan metrik. Untuk memenuhi sasaran 40 peratus, kita perlu mengurangkannya sebanyak 40 juta tan metrik. Ini merupakan sumbangan kita kepada usaha global bagi perubahan iklim dunia," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.