Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Bandaraya Petaling Jaya membuat laporan polis hari ini ke atas seorang penulis blog berhubung dakwaan berkaitan "Ops Sita" ke atas Damansara Utama Methodist Church.

Pengarah bahagian penguatkuasa dan keselamatan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, laporan itu dibuat memandangkan pihak berkuasa itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa laporan berhubung Ops Sita, seperti yang didakwa.

Dokumen yang dimuatkan di laman papagomo.com itu juga merupakan "satu dokumen palsu," katanya lagi dalam laporan polis yang dibuat di IPD Petaling Jaya petang ini.

"Laporan palsu itu dipaparkan sebagai kononnya yang dikeluarkan oleh pihak jabatan saya," tambahnya yang turut menafikan wujudnya penyalahgunaan kuasa beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang dinamakan dalam tulisan yang dimuatkan di laman berkenaan.

Katanya, dokumen didakwa palsu itu turut mengaitkan tuduhan ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad barisan exco – Teresa Kok, Ronnie Liu, Elizabeth Wong – serta ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dokumen berkenaan menuduh Pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan telah menyalahgunakan kuasa melalui campurtangan secara langsung dalam tugasnya sebagai pegawai MBPJ.

"Saya tegaskan di sini, tiada salah seorang pimpinan yang dinamakan di atas telah membuat panggilan kepada mana-mana pegawai MBPJ (pada 11 Ogos seperti didakwa)," kata Mohd Fauzi lagi dalam laporan polisnya.

Dalam dokumen yang dimuatkan di papagomo.com bertarikh 13 Ogos itu, pemimpin berkenaan didakwa telah menghubungi pegawai MBPJ, antaranya Khalid Samad yang didakwa telah meminta supaya operasi sita ke atas gereja Damansara Utama Methodist Church itu dibatalkan.

Seorang lagi pemimpin berkenaan, Ronnie Liu didakwa telah membuat panggilan telefon dan mengancam untuk menukar pegawai berkenaan sekiranya operasi itu diteruskan.

Mohd Fauzi membuat laporan polis berkenaan hari ini dengan ditemani seorang ahli majlis, Latheefa Koya yang berkata, penulis blog berkenaan boleh disiasat mengikut kanun keseksaan kerana membuat dakwaan palsu.

Turut hadir ialah Khalid yang turut menafikan bahawa beliau telah membuat panggilan telefon pada tarikh tersebut seperti didakwa dalam dokumen berkenaan.

Bercakap kepada wartawan selepas laporan itu dibuat, Khalid berkata masyarakat sepatutnya dapat menilai bahawa penulis blog yang berkenaan tidak berkredibiliti.

Penulis blog pro-Umno yang enggan mendedahkan identitinya itu mendakwa telah menerima "laporan" yang bertanda "sulit" daripada seorang pegawai MBPJ melalui emel pada Jumaat lalu.

 

ADS