Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Canselor Universiti Malaya (UM) menjelaskan, hanya 76 kakitangan akademiknya meletakkan jawatan dan bukan 146 orang seperti didakwa, sehingga menimbulkan tanggapan ia dalam krisis.

Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata, daripada 76 orang itu, jumlah terbesarnya daripada Fakulti Perubatan.

"Ia adalah perkara biasa, kerana ada di antara mereka pergi (berkhidmat) di hospital swasta," katanya dalam satu sidang media di UM hari ini.

NONE Katanya, menurut statistik antara 1 Julai 2009 hingga ke hari ini, 76 orang itu antara 123 lagi yang meninggalkan perkhidmatan atas pelbagai alasan, termasuk bersara dan meninggal dunia.

Sepanjang tempoh dua tahun setengah ini, 43 orang bersara dan empat lagi meninggal dunia.

"(Statistik) ini adalah yang paling tepat selepas semakan daripada bahagian sumber manusia," katanya.

Semalam, Utusan Malaysia pada muka depannya memuatkan laporan yang mendakwa UM sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar ekoran peletakan jawatan 146 staf akademik kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ghauth.

Mengulas lanjut, Ghauth berkata UM mempunyai seramai 1,858 staf akademik - yang merangkumi 1,563 (84.1 peratus) warga tempatan dan 295 (15.9 peratus) warga asing - berkhidmat di institusi pengajian tertinggi tertua di negara ini.

Nafi gila ranking

Dengan peletakan jawatan itu, Ghauth menafikan dakwaan UM mengalami masalah kekurangan staf akademik, sebaliknya sejumlah 563 kakitangan lagi yang kini melanjutkan pengajian di luar negara dan bakal diserapkan apabila tamat pengajian.

NONE Jumlah tersebut tidak termasuk sejumlah 1,858 staf akademik yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi itu, tambahnya.

"Yang paling penting, semua staf yang masuk dikehendaki memenuhi kriteria (bahawa mereka) benar-benar cemerlang... Mereka tidak boleh lari dari hakikat ini," katanya.

Mengulas tuduhan bahawa beliau seorang yang 'gila ranking', Ghauth menafikan dakwaan itu, sebaliknya berhasrat mahu membawa UM sehingga mampu bersaing dengan universiti terkemuka di dunia.

"Saya tidak gila ranking (kedudukan). Tapi ranking baik untuk jadi marketing point kepada dunia... Saya mahu membawa UM, naik ranking bagi menunjukkan kepada dunia, bahawa Malaysia ada universiti yang berkualiti.

NONE

"Kerajaan juga mahu UM menjadi pusat penyelidikan di dunia, untuk menunjukkan kepada dunia, kita ada universiti ternama," katanya sambil menyatakan kerisauan dan sedih kerana UM ketinggalan dengan univerisiti ternama di Singapura dan Thailand.

Beliau juga menafikan dakwaan mementing kualiti penerbitan dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam proses kenaikan pangkat staf akademik UM.

Ghauth berkata kenaikan pangkat staf akademik bukan sahaja mengambil kira penerbitan dalam bahasa Inggeris tetapi juga dalam jurnal berbahasa Melayu yang diterbitkan fakulti masing-masing, Dewan Bahasa dan Pustaka, atau penerbitan di universiti tempatan.

Minggu depan jumpa persatuan

Ditanya sama ada pihaknya mahu bertemu dengan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) bagi menjelaskan semua isu berbangkit itu, Ghauth berkata sudah merancang bertemu semalam tetapi terpaksa bertemu dengan menteri pada masa itu.

Setakat ini, katanya, pihaknya masih belum mempunyai berkesempatan.

"Insya-Allah, minggu hadapan saya jumpa mereka... Saya tidak ada masalah dengan PKAUM. Setiap tiga bulan, kami ada mesyuarat.

freedom of information foi forum 290906 azmi sharom "Tugas persatuan untuk memastikan kebajikan staf (terjaga), saya menerima macam-macam soalan dan isu yang dibangkitkan oleh PKAUM, saya tidak tahu, melainkan apa yang ditulis di akhbar," katanya.

Ditanya sama ada UM akan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu, Ghauth berkata pihaknya tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

"Apa yang berlaku ia memberi nilai kepada UM... Ia menarik perhatian kepada UM supaya dapat dinyatakan kebenaran. Jadi saya kena berterima kasih," katanya.

Ghauth juga menegaskan bahawa beliau "tidak ada masalah" dengan presiden PKAUM Dr Azmi Sharom ( kanan ) yang juga pensyarah Fakulti Undang-undang UM.

ADS