Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarat lesen bot laut dalam diperkemas
Diterbitkan:  Aug 23, 2011 11:21 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengambil langkah memperkemaskan syarat dan peraturan lesen bot laut dalam bagi membendung penyelewengan diesel.

 

Timbalan Menteri kementerian bekenaan, Datuk Wira Mohd Johari Baharom berkata syarat dan peraturan itu akan digazetkan supaya penguatkuasaannya berkesan selepas diluluskan.

NONE Katanya perbincangan antara kementerian dan persatuan-persatuan nelayan mengenai perkara itu telah bermula dengan tumpuan ke arah memperkemaskan peraturan tangki minyak, tempoh masa di laut, kapasiti enjin dan saiz bot.

"Pada masa ini perkara itu tidak diambil kira dan setiap bot boleh mengisi minyak selagi tidak melebihi kuota bulanan sehinggakan ada bot memuat minyak dalam tangki simpanan atas bumbung yang diragui tujuannya.

"Mengikut syarat dan peraturan baru ini setiap bot dibenarkan membawa kuantiti minyak berdasarkan perkara-perkara tersebut sahaja," kata Mohd Johari kepada Bernama semasa ditemui selepas berbuka puasa bersama nelayan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Keloncor di Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata pemeriksaan LKIM di Kedah dan Perlis mendapati banyak botmemasang tangki simpanan atas bumbung dan perbuatan itu menyebabkan bot menjadi tidak seimbang apabila dipukul ribut atau ketika laut bergelora.

Mohd Johari juga menasihatkan pengusaha bot pukat tunda dan pukat jerut supaya menghormati hak nelayan pantai dengan tidak menceroboh kawasan tangkapan mereka.

NONE "Jabatan Laut mendapati pencerobohan masih berlaku. Mereka juga merosakkan tuas yang dibina dengan wang sendiri oleh nelayan pantai semasa menangkap ikan di kawasan tersebut pada waktu-waktu tertentu.

"Tuas ini turut menjadi tumpuan pemancing yang menyewa bot untuk memancing dan menjadi sumber pendapatan tambahan nelayan pantai," katanya.

Sebelum itu Mohd Johari menyerahkan sumbangan Tabung Bencana Alam Negara berjumlah RM60,000 kepada 30 orang nelayan yang kemalangan dan kepada waris yang nelayan meninggal dunia.

Pada majlis itu, Persatuan Pemilik Bot Bumiputra menyumbangkan duit raya kepada 100 orang anak nelayan berjumlah RM5,000 manakala Persatuan Nelayan Kedah menyumbangkan sebuah bot berharga RM15,000 kepada Bilik Gerakan Banjir Kubang Pasu.

- Bernama

ADS