Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan bekas polis buat laporan ke atas Mat Sabu
Diterbitkan:  Aug 28, 2011 4:56 PM
Dikemaskini: Aug 29, 2011 1:39 AM

Persatuan Bekas Anggota Polis Negeri Terengganu yang mempunyai 4,500 anggota hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang dianggap keterlaluan hingga sanggup menghina polis demi mencari populariti.

    

Pengerusinya Hussin Awang Ngah berkata tindakan Mohamad menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekaligus menunjukkan beliau telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

    

"Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua PAS itu baru menimbulkan perkara tersebut dan tidak membangkitkannya selama ini.

    

"Saya percaya, tujuannya tiada lain kerana beliau nak mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di Besut hari ini.

    

Kata Hussin, beliau sedih dengan pendirian Mohamad Sabu yang sanggup memainkan apa jua isu asalkan dirinya mendapat sokongan dalam kalangan penyokongnya.

    

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, Mohamad dilaporkan berkata pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Di SELANGOR, 19 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis secara berasingan terhadap Mat Sabu, iaitu 10 laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, tujuh di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam dan dua di IPD Klang Selatan, Klang.

   

Wakil barisan NGO berkenaan, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Mat Sabu telah menyeleweng fakta sejarah, memfitnah pahlawan negara dan menyokong perjuangan komunis.

   

Beliau menyifatkan kenyataan Mat Sabu itu sebagai cubaan menghasut rakyat dengan menanam dan menghidupkan semula semangat komunis di negara ini.

   

Hamidzun berkata mereka turut meminta supaya pemimpin PAS itu disiasat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan 1948.

   

Umno Bahagian Shah Alam turut membuat laporan polis berhubung isu sama di IPD Shah Alam.

    

- Bernama

ADS