Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAIS mohon sebulan lagi siapkan laporan 'gereja'
Diterbitkan:  Aug 30, 2011 9:45 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memohon tempoh sebulan lagi untuk menyiapkan laporan mengenai serbuan yang dilakukan jabatan itu di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, kata  Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

NONE Beliau berkata permohonan itu dibuat oleh jabatan itu pada Khamis lalu semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil JAIS dan Harapan Komuniti, penganjur majlis makan malam di gereja itu.

"Pada perjumpaan itu, JAIS menyatakan mereka masih belum menyiapkan laporan dan kami memutuskan untuk memberikan masa kepada mereka bagi menyiapkan laporan itu dan tindakan lain yang perlu," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan  rumah terbuka Aidilfitri di dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran yang dibincangkan pada perjumpaan itu dan hanya berkata perjumpaan membabitkan tiga bahagian.

NONE "Yang pertamanya untuk mengesahkan fakta (berkaitan serbuan JAIS di gereja itu), dan kemudian untuk mengesahkan prosesnya (hak JAIS mengadakan pemeriksaan itu) dan akhir sekali sama ada pemeriksaan itu adalah perkara biasa ataupun tidak.

"Daripada situ, kami boleh buat rumusan untuk memperkemaskan laporan dan untuk mencadangkan tindakan lain," katanya sambil menambah beliau akan mengadakan dua lagi perjumpaan dengan JAIS.

Abdul Khalid berkata JAIS berpendapat mereka mempunyai kes prima facie berdasarkan keterangan yang dikumpul berkaitan pemeriksaan di gereja itu.

Menteri Besar sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri telah menubuhkan awatankuasa pendengaran untuk menyiasat pertikaian mengenai serbuan yang dibuat JAIS digereja itu.

Khamis lau wakil JAIS dan Harapan Komuniti mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa pendengaran itu yang terdiri daripada Abdul Khalid, mufti negeri Datuk Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abdul Majid Omar.

- Bernama     

ADS