Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia perlukan modal insan berguna, kata Najib
Diterbitkan:  Aug 31, 2011 9:11 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan semula semua penuntut Malaysia di luar negara supaya sentiasa cemerlang dalam menimba ilmu dan kembali ke tanahair untuk berkhidmat kepada negara.

Perdana Menteri berkata negara amat memerlukan modal insan yang berguna dalam proses transformasi ke arah menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

Najib berkata, dalam menuju ke arah itu, negara memerlukan rakyat Malaysia yang berkelayakan, berpengalaman di samping memiliki etika kerja yang baik serta nilai dan sikap yang cemerlang.

"Kita memerlukan sumbangan mereka. Sebab itu  kita hantar pelajar ke luar negara untuk menimba ilmu. Walaupun ia melibatkan kos yang besar namun mereka adalah pelaburan untuk negara.

"Jadi gunakan peluang keemasan ini untuk menimba ilmu sebanyak mungkin," katanya semasa berbual serentak dengan penuntut-penuntut Malaysia di enam negara berasingan melalui sesi 'tele-conferencing' di kediaman rasminya, Seri Perdana, semalam.

Sesi 'tele-conferencing' dengan penuntut-penuntut Malaysia di Islamabad (Pakistan), Jeddah (Arab Saudi), Rabat (Maghribi), London (England) dan Washington DC (Amerika Syarikat) itu diadakan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 bersama Perdana Menteri dan isteri.

Dalam sesi selama sejam itu, Najib turut meminta penuntut Malaysia supaya meluaskan skop komunikasi dengan masyarakat tempatan dan pelajar dari negara lain serta tidak berkolompok dengan pelajar Malaysia.

Katanya, ia membantu pelajar Malaysia mendapat pelbagai ilmu dan pengalaman yang amat berguna untuk membina perwatakan dan keperibadian yang baik.

Beliau juga bangga dengan semangat kenegaraan warga Malaysia, khususnya pelajar dan profesional yang sedang menuntut atau bekerja di luar negara, dalam sambutan Hari Kemerdekaan.

Pada sidang itu juga, semua ketua perwakilan serta pelajar yang berpeluang menyertainya melahirkan rasa bertuah kerana dapat berbual dengan Perdana Menteri dan isterinya.

    

- Bernama

ADS