Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mesyuarat sekretariat Pakatan Rakyat Perlis pada 15 Julai lalu, difahamkan telah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi di negeri itu dan bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di 11 kerusi yang merangkumi tiga kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN.

hashim jasin Manakala PKR pula akan bertanding lima kerusi dan DAP dua kerusi DUN.

Diminta mengulas agihan kerusi DUN yang bakal ditandingi partinya, pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin ( kiri ) enggan mendedahkan nama-nama kawasan yang yang akan ditandinginya.

"Kita akan umum apabila tiba masanya... Kalau hendak berlaku perubahan pun (di peringkat tertinggi), itu (saya) tak tahu.

"Di peringkat kita (PAS negeri) tidak dimuktamadkan (kerana calon dipilih) akan diputuskan oleh Majlis Syura. Mereka akan memilih siapa yang layak bertanding," katanya kepada wartawan pada majlis Aidilfitri bersama anak Perlis di perantauan, malam semalam.

Ditanya mengenai desas desus bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Sanglang, Hashim berkata "kemungkinan diberikan kepada calon muda"

"Jika parti hendak (saya bertanding), saya akur dengan keputusan parti. Tambahan pula, kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi," katanya yang telah menjadi ADUN Sanglang selama tiga penggal sejak 1999.

Perlis mempunyai tiga kerusi parlimen - Padang Besar, Kangar dan Arau. Semua kerusi itu dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum 2008 lalu.

hashim jasin pas sanglang perlis state seat court 180608 Di peringkat DUN pula, negeri itu mempunyai 15 kerusi. Pada pilihan raya umum 2008, selain Sanglang, PAS memenangi satu lagi kerusi DUN iaitu Simpang Empat.

Mengulas mengenai peluang Pakatan untuk menang dalam pilihan raya umum nanti, Hashim optimis kerana katanya, "ruang kemenangan ada" bagi gabungan itu.

"Kita ada percaturan... Secara umum, kita masuk pilihan raya mempunyai sasaran, membuat persediaan dengan teratur, dan apatah lagi sambutan orang rakyat kepada Pakatan.

"Kita tidak mahu menang bersendirian. Kita berharap menang dua pertiga.

"Kadangkala kita menang kerana musuh lemah, padahal kita tidak kuat. Ada kala kita menang dengan kekuatan kita," katanya.

Kabinet bayangan

Hashim yang juga adalah pengerusi sekretariat Pakatan Perlis berkata pihak mereka telah menubuhkan kabinet bayangan bersama parti-parti komponennya bagi mentadbir negeri Indera Kayangan jika berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Hashim jasin "Kita sudah ada kabinet bayangan jika menang dalam pilihan raya. Kita sudah ada," katanya.

Menurut Hashim, penubuhan kabinet itu bertujuan mengelak berulangnya apa yang berlaku di Perak sehingga mesyuarat pemilihan menteri besar Pakatan pada ketika itu selesai sehingga jam 5 pagi.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, untuk mendapat penjelasan lanjut, Hashim berkata bagi pihak PAS, mereka telah menentukan portfolio tertentu kepada calon mereka sebagai persediaan untuk mentadbir negeri itu jika diberi kepercayaan pada pilihan raya umum itu.

"Ia bertujuan supaya kita tidak jadi kalut, jika ditakdirkan memerintah (negeri)," katanya.

Menurutnya lagi, pembahagian kerusi bagi ketiga-tiga parti itu telahpun dimuktamadkan dan cadangan itu telah diajukan kepada Majlis Pakatan Rakyat.

dinner with outstation anak perlis Sebelum itu, Hashim melancarkan laman sosial Facebook, Persatuan Anak-anak Perlis di perantauan (Perintis) di Kompleks PAS Perlis sempena sambutan Aidilfitri sebagai usaha membantu Pakatan pada pilihan raya umum akan datang.

Kira-kira 200 orang hadir dalam majlis tersebut.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan PAS Perlis memberitahu Malaysiakini berkata parti itu dijangka membarisi calon yang terdiri daripada pemimpin tempatan di peringkat negeri dan kawasan yang berumur antara 40 hingga 60 tahun.

"Mereka terdiri daripada ulama dan profesional... Diharap mereka mampu menawan Perlis daripada BN," kata sumber itu.

ADS