Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan masa tuding jari, kata PM
Diterbitkan:  Sep 4, 2011 3:44 PM
Dikemaskini: Sep 5, 2011 1:09 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian jurukamera BernamaTV yang terkena tembakan peluru sesat Jumaat lalu.

Allahyarham Noramfaizul Md Noor terbunuh semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang mana Najib adalah penaungnya.

Najib PC on Bernama cameraman "Ini merupakan sebahagian (daripada bidang kewartawanan). Kamu boleh mengambil langkah keselamatan tapi tiada jaminan sepenuhnya (mengenai keselamatan) sebaik anda berada di kawasan konflik seperti Libya, Mesir dan Gaza di mana banyak nyawa wartawan telah hilang," katanya.  

Najib berkata apa yang penting sekarang ialah untuk mengambil iktibar dan cuba memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dalam misi kemanusiaan yang disertai Malaysia pada masa depan.

Beliau sebelum itu  menyertai keluarga Noramfaizul di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang bagi menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dari Mogadishu hari ini.

somalia soldiers on truck 1 Mengulas lanjut mengenai tugasan media di kawasan berisiko tinggi, Najib berkata ia biasanya melibatkan kawasan konflik.

"Kalau kita pergi bila keadaan sudah reda, tak ada lagi konflik, maknanya tak ada risiko. Tapi kalau kita hendak buat liputan terkini ketika sesuatu konflik masih tegang lagi, tentu sekali ada risiko sebab banyak pihak yang bertelagah, dia ada senjata.

"Collateral damage"

"Jadi bila ada senjata dalam tangan orang yang tak bertanggungjawab, yang tak profesional, yang ada tujuan tertentu, tentu sekali ada risiko walaupun kita tidak merupakan pihak yang menjadi sasaran," katanya.

Sehubungan itu, menurut perdana menteri, kejadian tidak diduga yang menimpa Noramfaizul boleh dikategorikan sebagai "collateral damage" (kebinasaan lingkungan).

noramfaizul mohd nor "Saya sifatkan Allahyarham sebagai seorang wira negara dan kita patut jadikan pengorbanan beliau itu sebagai satu model, cerita dan kisah yang merangsang semangat kita untuk terus memainkan peranan dalam misi kemanusiaan seterusnya," katanya.

Beliau yang merupakan penaung Kelab Putera 1Malaysia, berkata pengorbanan Allahyarham sekaligus menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa berada di saf hadapan dalam membantu negara lain yang mengalami malapetaka atau kesengsaraan, seperti kebuluran di Somalia.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju menanggung kos pendidikan dua anak Allahyarham -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Allahyarham Noramfaizul ialah anak sulung daripada enam beradik dan merupakan anak lelaki tunggal.

ADS