Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 2.3 juta pekerja asing, PATI daftar 6P
Diterbitkan:  Sep 5, 2011 7:06 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Seramai 2,320,034 orang pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar untuk Program 6P setelah berakhirnya proses pendaftaran melalui sistem biometrik pada 31 Ogos lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ( bawah ) berkata jumlah itu meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah dan seramai 1,303,126 PATI.

NONE "Ini menunjukkan satu angka dan jumlah yang begitu besar.Jumlah ini tidak termasuk yang enggan mendaftarkan diri, tidak termasuk pembantu rumah, tidak termasuk pelarian dan di Sabah dan Sarawak.

"Kalau kita tidak ambil tindakan, kita tidak lalui proses 6P, maka masalah ini akan lebih berat pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Hishammuddin berkata rakyat dari beberapa negara didaPATI lebih ramai menjadi PATI berbanding pekerja yang sah terutamanya Indonesia iaitu jumlah PATI seramai 640,609 berbanding pekerja sah seramai 405,312 diikuti Bangladesh 267,803 PATI dan hanya 132,897 pekerja sah.

Bagaimanapun jumlah pekerja sah dari Nepal lebih tinggi iaitu sebanyak 221,617 berbanding seramai 33,437 PATI, kata beliau.

Ditanya sekiranya terdapat PATI dan pekerja asing yang ingin mendaftar selepas tempoh pendaftaran berakhir, beliau berkata mereka masih boleh mendaftar dengan Jabatan Imigresen atau agen yang dilantik.

"Mereka boleh (mendaftar) tetapi kami tidak boleh putuskan statusnya," kata beliau.

NONE Sementara itu Hishammuddin berkata tarikh bermulanya proses Pemutihan yang merupakan komponen kedua Program 6P akan bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada 31 Ogos lepas yang tidak membenarkan pemohon suaka dari Australia ke Malaysia, tidak terlalu memberi kesan kepada Malaysia.

"Cuma keputusan mahkamah baru-baru ini tidak memihak kepada kerajaan Australia tetapi bagi saya agenda kita masih akan kita teruskan dan saya sentiasa berhubung rapat dengan rakan sejawatan dari Australia," katanya.

Pada 25 Julai lepas Malaysia dan Australia menandatangani perjanjian bersejarah bagi pertukaran pelarian dan pemohon suaka di antara kedua-dua negara untuk pertukaran 4,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dengan 800 orang dari Australia dalam tempoh empat tahun.

--Bernama

ADS