Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekida, pesara bantah Mat Sabu
Diterbitkan:  Sep 6, 2011 3:59 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Dua pertubuhan bukan kerajaan dan seorang pesara tentera masing-masing membuat laporan polis membantah keras kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menidakkan sejarah pengorbanan polis dan tentera menentang keganasan komunis.

Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (BARIS) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) membuat laporan polis di ibu negara manakala Wan Din Wan Mamat, 51, turut berbuat demikian di Tumpat, Kelantan.

Pengerusi Pekida Datuk Roslan Dahaman berkata kenyataan pemimpin PAS itu mengguriskan hati dan perasaan rakyat Malaysia, terutama anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang telah terkorban semasa mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.

"Dia (Mohamad Sabu) perlu bertanggungjawab dan meminta maaf atas kenyataannya yang telah memutar-belitkan fakta sejarah mengenai perjuangan anggota keselamatan dalam menentang kekejaman komunis di negara ini," katanya.

Presiden BARIS, Nordin Hassan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap Mohamad Sabu, kerana menurutnya, kenyataan seperti itu memberi implikasi buruk kepada rakyat dan negara.

Di Tumpat, Wan Din berkata sebagai pesara tentera yang pernah bertempur dengan komunis, beliau amat kesal dengan kenyataan itu dan menganggap PAS telah mempertikaikan sejarah untuk kepentingan politik.

"Saya pernah alami pertempuran dengan komunis, peluru bertaburan di atas kepala, macam mana boleh anggap dia (komunis) sebagai hero," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Tumpat hari ini.

"Dia tidak tahu perkara sebenar dan cuba menonjolkan diri sebagai hero.

Sejarah telah menetapkan perkara itu, dia cuba mempertikaikan fakta sejarah yang semua orang tahu," katanya.

- Bernama

ADS