Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chor nafi pengerusi MCA Kedah letak jawatan
Diterbitkan:  Sep 9, 2011 2:54 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Penasihat MCA Kedah, Datuk Chor Chee Heung  hari ini menafikan desas-desus bahawa Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew meletak jawatan.

    

"Ya...saya ada dengar perkara ini (letak jawatan) tetapi ia tidak benar. Saya ada menghubungi Chong dan beliau tergelak apabila ditanya mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita.

    

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan wang bantuan kepada 39 pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan kawasan DUN Kota Darulaman dan Bakar Bata di Alor Star, diminta mengulas khabar angin peletakan jawatan Chong yang disiarkan akhbar berbahasa Mandarin baru-baru ini.

    

Chor yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata isu itu mungkin disebar pihak tertentu yang tidak senang hati dengan Chong.

    

Mengulas lanjut, Chor berkata semua pihak dalam MCA termasuk pengerusi bahagian di Kedah berpuas hati dengan Chong kerana mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

    

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut hadir di majlis tersebut berkata hubungan Chong dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional Kedah adalah baik.

    

"Beliau (Chong) adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan membantu mewujudkan perpaduan antara kaum selain telah melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat," kata Ahmad Bashah.

    

- Bernama

ADS