Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pada hari ini, 9 September menandakan tahun ke-12 penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia atau lebih dikenali sebagai Suhakam, oleh Akta Parlimen, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 atau Akta 597.

Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah memainkan peranan sebagai badan berkanun dalam mempromosi kesedaran hak asasi manusia, menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan menasihati Kerajaan dan pihak berkuasa berkenaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan penggubalan undang-undang dan dasar-dasar serta pelaksanaan mereka bagi memastikan keselarasan antara undang-undang negara dan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

azlan Sepanjang tahun-tahun tersebut, Suruhanjaya telah menangani banyak isu hak asasi manusia dan telah mengesyorkan, antara lain, pemansuhan semua undang-undang tahanan pencegahan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) Darurat 1969, semakan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Seksyen 27 Akta Polis, serta pemansuhan hukuman mati dan hukuman penjara sepanjang hayat.

Suruhanjaya mengambil pendirian bahawa undang-undang yang hubung dengan tahanan tanpa bicara adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan melanggar Perkara 9, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), dan dengan itu mesti dimansuh dan digantikan dengan undang-undang yang menyediakan keperluan keselamatan negara serta pada masa yang sama mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Suruhanjaya juga dengan tegas mengulangi pendirian bahawa rakyat mempunyai hak untuk menyertai perhimpunan aman dan bahawa hukuman berbentuk tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah yang melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dikaji semula dan diganti dengan bentuk hukuman yang selaras dengan norma-norma dan nilai-nilai hak asasi manusia yang diterima secara universal.

Syor-syor tersebut, selama hampir dua belas tahun, telah disediakan dengan teliti berdasarkan keputusan beberapa penyelidikan, perundingan, perbincangan meja bulat, siasatan awam dan aktiviti-aktiviti lain, dan dikemukakan kepada Kerajaan melalui laporan tahunan, yang diserahkan pada mesyuarat pertama setiap tahun.

Walaupun setakat ini, kesemua sebelas laporan tahunan tidak dibahaskan, suruhanjaya akan terus menggesa ahli-ahli parlimen untuk mengambil isu-isu utama hak-hak asasi manusia dan syor-syor semasa intervasi di Parlimen supaya orang awam akan lebih menghargai keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Jawatankuasa pemilih selain pilihan raya

Usahanya yang berterusan dalam menjalankan mandat mengikut akta untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia, suruhanjaya terus memantau pelanggaran hak asasi manusia, dan dalam hal ini, telah memantau perhimpunan awam baru-baru ini berkenaan dengan pilihan raya yang bebas dan adil, dan sebagai tindak balas kepada aduan yang diterima berikutan perhimpunan berkenaan, akan menjalankan satu siasatan awam ke atas dakwaan penggunaan kekerasan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang dalam mengawal dan menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan, serta lain-lain pencabulan hak asasi manusia yang mungkin berlaku sebelum dan pada 9 Julai .

riot police fru bersih tear gas Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suruhanjaya Profesor Datuk Dr Lake Tee Khaw dan akan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Pesuruhjaya Detta Samen.

Dalam hal ini, Suruhanjaya ingin mengulangi syor-syor seperti yang terkandung dalam laporan siasatan awam dalam kejadian di KLCC pada 28 Mei 2006, bahawa sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan juga Seksyen 27A Akta Polis 1967 perlu dimansuhkan, dengan itu menghapuskan keperluan permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan aman.

Suruhanjaya mengesyorkan bahawa sekiranya pihak polis mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai, kaedah yang sederhana dan tanpa kekerasan perlu digunakan. Setakat ini, syor-syor berkenaan masih tidak dilaksanakan oleh kerana kerajaan percaya bahawa keselamatan masyarakat umum adalah amat penting bagi mengekalkan ketenteraman sosial dan negara.

Suruhanjaya juga telah memantau beberapa kempen pilihan raya kecil bagi memastikan bahawa rakyat mempunyai hak kepada pilihan raya yang adil dan bebas – hak untuk memilih wakil mereka, hak untuk akses kepada maklumat serta hak untuk mempunyai akses yang sama kepada media.

Dalam memuji langkah penubuhan jawatankuasa pemilih parlimen mengenai reformasi pilihan raya, suruhanjaya ingin menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan juga pembentukan satu jawatankuasa pemilih lain untuk mengkaji perkara-perkara hak asasi manusia sebagai langkah tambahan dalam menegakkan hak rakyat, dan dengan itu meningkatkan lagi sistem demokrasi parlimen di negara ini.

Arahan pemerhati mahkamah

Suruhanjaya juga telah memutuskan untuk menjalankan inkuiri nasional yang pertama mengenai hak tanah masyarakat Orang Asal/Asli di Malaysia, yang telah bermula bulan Jun lalu dengan sesi konsultasi di Sabah dan Semenanjung dan pada bulan ini di Sarawak dari 16 hingga 29 September.

Usaha ini telah menandakan komitmen suruhanjaya untuk meneliti isu-isu tanah Orang Asal/Asli yang sistemik dan mendesak serta kesan negatif terhadap isu tersebut seperti pemilikan, kehilangan hak milik tanah melalui pengusiran dan bentuk pencerobohan lain, dan kesan pembangunan ke atas kehidupan Orang Asal/Asli dan alam sekitar.

orang asli batu talam by-election 260107 Laporan Inkuiri ini akan menggariskan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai isu-isu kritikal yang akan dikemukakan kepada parlimen, Dewan Undangan Negeri, serta kerajaan persekutuan dan negeri untuk pertimbangan dan tindakan susulan bagi menyelesaikan isu ini yang telah lama berlarutan.

Oleh yang demikian, suruhanjaya mengalu-alukan dan berharap akan sokongan penuh dan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat Orang Asal/Asli, agensi-agensi serta kerajaan negeri dan persekutuan, badan-badan korporat, NGO dan media.

Suruhanjaya kini sedang mengikuti kes-kes mahkamah yang melibatkan isu hak asasi manusia, dengan menjalankan peranan “amicus curiae” atau dengan mengadakan arahan pemerhati (watching brief) yang akan memberi peluang untuk mempromosikan hak asasi manusia dalam proses kehakiman.

Setakat ini, suruhanjaya telah mengadakan arahan pemerhati bagi dua kes yang melibatkan hak wanita dan kanak-kanak yang berkaitan dengan CEDAW dan CRC. Adalah diharapkan agar suruhanjaya akan mempunyai peluang untuk mengikuti lebih banyak kes-kes hak asasi manusia pada masa akan datang.

Dalam dunia yang semakin tiada sempadan dan saling berkait di era maklumat ini, adalah mustahil bagi negara untuk menutup diri dari pemerhatian antarabangsa. Dalam perkampungan global yang kita diami ini, Malaysia mestilah berpegang pada realiti baru dan bergerak menuruti masa dalam langkah menuju ke arah status sebuah negara maju menjelang tahun sasaran 2020.

Pelan tindakan menyeluruh

Oleh yang demikian, perlu adanya usaha ke arah lebih kesedaran dan menghormati hak asasi manusia dalam semua dimensi pada semua peringkat masyarakat dan memulakan proses penerapannya seawal yang mungkin.

Suruhanjaya akan memainkan peranan aktif dalam proses ini dengan meneruskan penglibatannya secara lebih menyeluruh dan berfokus, dengan semua pihak berkepentingan termasuk, khususnya, pihak berkuasa kerajaan, serta mekanisme dan proses hak asasi manusia antarabangsa dan serantau, demi kepentingan promosi dan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.

Suruhanjaya terus menggalakkan kerajaan untuk melaksanakan obligasi antarabangsa yang telah dibuat dalam Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) dan akan terus memantau pelaksanaannya.

Suruhanjaya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memulakan proses merangka satu Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional yang akan menyediakan pelan tindakan yang menyeluruh ke arah meningkatkan promosi dan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.

united nation un general assembly Walaupun Suruhanjaya mengalu-alukan ratifikasi Kerajaan kepada Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan penarikan balik beberapa reservasi Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) pada tahun 2010, Suruhanjaya akan menggesa pihak kerajaan untuk mempergiatkan usaha ke arah penyertaan kepada semua teras instrumen antarabangsa dan penarikan balik reservasi selebihnya yang telah dibuat kepada CRC, CEDAW dan CRPD.

Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.

Suruhanjaya ingin menyeru Kerajaan, khususnya agensi-agensi berkaitan, untuk memberikan kerjasama dan sokongan sepenuhnya dalam menimbangkan syor-syor yang dibuat sejak beberapa tahun yang belum dilaksanakan sepenuhnya.

Suruhanjaya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berkepentingan atas sokongan yang kukuh dan usaha-usaha ikhlas mereka dan akan terus bekerjasama dengan sesiapa yang berkongsi cita-cita dan matlamat yang sama untuk memupuk kesedaran dan memastikan pembaikan keadaan hak asasi manusia di negara ini.


NONE Tan Sri Hasmy Agam merupakan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

ADS