Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kepelbagaian budaya, agama - kekuatan M'sia
Diterbitkan:  Sep 11, 2011 11:45 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Kepelbagaian budaya dan agama masyarakat berbilang kaum menjadi sumber kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yasin Justeru, ia harus digunakan sebagai satu peluang untuk terus maju ke hadapan dan bukannya menjadi penghalang kepada negara untuk terus mencipta kejayaan.

Menurut beliau, sikap saling hormat-menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama membolehkan kebudayaan setiap kaum berkembang di Malaysia yang sehingga ke hari ini diterima sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan negara.

"Ini menunjukkan bahawa perbezaan budaya dan agama di negara kita tidak pernah menghalang rakyatnya daripada mengecapi keamanan dan keharmonian.

"Malah, kepelbagaian budaya inilah yang merupakan kebanggaan dan kemegahan yang sering kita pamerkan kepada masyarakat dunia," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Merdeka 2011 di Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), Brickendonbury, di London.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di London untuk lawatan kerja empat hari ke United Kingdom, bermula Khamis lalu. Beliau ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Dr Ong Hong Peng dan Ketua Pegawai Eksekutif TARRC Dr Kamarudin Malek dan Lord Lieutenant of Hertfordshire, Kolonel Kevin Fitzgerald.

Selain penuntut dan komuniti Malaysia di United Kingdom, sekumpulan veteran tentera British turut hadir meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-54.

NONE Mengulas lanjut, beliau berkata menyedari pentingnya perpaduan di kalangan penduduk berbilang bangsa dipertahankan, kerajaan memperkenalkan pendekatan baru seperti gagasan  '1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Katanya ia bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat selain meningkatkan kecekapan kerajaan dalam memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

"Gagasan ini amat penting untuk dihayati oleh setiap rakyat Malaysia memandangkan tempoh 54 tahun negara merdeka, perpaduan di kalangan rakyat adalah ramuan utama kejayaan dalam mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan negara.

"Saya percaya perpaduan nasional akan terus menjadi faktor utama kejayaan kita untuk memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan," katanya.

- Bernama

ADS