Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Serah sejarah pada pakar
Diterbitkan:  Sep 12, 2011 7:29 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu diminta berhenti memutar belit fakta sejarah sehingga mengelirukan orang ramai dan menyebabkan perpecahan masyarakat.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata Mohamad sepatutnya mengehadkan tugas beliau sebagai ahli politik sahaja dan menyerahkan isu sejarah kepada pakar.

"Hari ini urusan sejarah juga cuba dinafikan oleh orang politik kepada pakar-pakarnya. Malahan jabatan agama Islam, Majlis Fatwa...mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melihat tentang soal agama pun cuba dinafikan oleh orang politik," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur hari ini.

sarawak election bn visit longhouse radin lachau 120411 razali ibrahim Razali ( kanan ) yang juga timbalan menteri belia dan sukan mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang mengingatkan semua pihak agar tidak cuba mengubah fakta sejarah dan mengagungkan pengganas komunis.

Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan pengganas komunis dalam tragedi Bukit kepong sebagai wira sebenar dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Mengenai keengganan Mat Sabu berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kerana mahu berdebat dengan yang 'setaraf', Razali berkata pemimpin PAS itu sekadar mahu melarikan diri daripada menjelaskan isu berkenaan.

"Pada saya tidak timbul soal dia nak berdebat dengan TPM (timbalan perdana menteri). Itu benda baru.

"Saya rasa perkara ini perlu diperjelaskan untuk kita dapat butiran yang tepat. Dia cuba memesong dan cuba lari daripada masalah. Lagi banyak dia cuba menutup pembohongan maka lagi banyaklah pembohongan yang akan dia dan rakan-rakan dia lakukan," katanya.

Sementara itu di Kunak, Sabah, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata fakta sejarah tidak harus diterjemah mengikut selera sendiri dan dijadikan polemik untuk kepentingan politik sendiri.

"Sejarah kemerdekaan negara adalah lakaran peradaban dan tamadun bangsa, ia tidak boleh diubah atau ditafsir mengikut persepsi sendiri," katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Beliau juga berkata tindakan pihak memejamkan mata kepada hakikat sebenar perjuangan kemerdekaan negara amat mendukacitakan, apatah lagi perkara itu dilakukan kerana kepentingan politik.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS