Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Arahan jemaah menteri tak diikut demi kebaikan'
Diterbitkan:  Sep 13, 2011 4:43 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Kementerian Kewangan (MOF) tidak mengikut arahan Jemaah Menteri dalam usaha pembelian tanah di Pulau Indah kerana perlu menimbang cara terbaik  mendapatkan tanah itu.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, 62, berkata walaupun Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membeli tanah berkenaan tetapi mereka juga meminta Kementerian Kewangan membuat penilaian di atas keputusan itu.

port klang free zone pkfz audit Beliau berkata pada 24 Mac 1999, Jemaah Menteri mengarahkan supaya pembelian tanah dibuat tetapi pihak Kementerian Kewangan mencadangkan supaya tanah itu diperoleh dengan cara pengambilan balik tanah.

"Keputusan Jemaah Menteri sebelum ini memang untuk membeli tanah tersebut tetapi dalam keputusan itu juga ada menyebutkan supaya Kementerian Kewangan menyusuli cadangan pembelian tanah dan juga membuat penilaian terhadap harga tanah.

"Jadi Kementerian Kewangan mungkin telah menimbang cara-cara terbaik untuk memperoleh tanah tersebut dan keputusan yang dibuat untuk mengambil balik tanah kerana isu yang hendak diselesaikan ialah sama ada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau kerajaan perlu ke (atau tidak) tanah tersebut," katanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad.

Berikutan arahan Kementerian Kewangan itu, Zaharah yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu mulai 1999 hingga 2005, telah mengadakan beberapa mesyuarat susulan bagi melaksanakan arahan tersebut.

Katanya menerusi mesyuarat pada 18 Jun 2001, ahli mesyuarat bersetuju melibatkan wakil daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Ketua Pengarah, Tanah dan Galian bagi memberi pendapat dan saranan.

NONE Mengenai kadar faedah sebanyak 7.5 peratus, Zaharah berkata laporan yang diserah kepadanya oleh LPK adalah tidak jelas dan beliau ada mengutarakan pendapatnya (mengenai ketidakjelasan itu) kepada Ling tetapi tidak pasti sama ada mengusulkan surat atau tidak.

"Apabila saya membaca surat ini (laporan faedah 7.5 peratus) adalah tidak jelas adakah kadar 7.5 peratus itu termasuk atau tidak dalam 'special value'," katanya.

Terdahulu, Zaharah memberitahu bahawa walaupun beliau menguruskan segala urusan surat menyurat yang ditujukan kepada kementerian dan menteri tetapi terdapat juga yang tidak diserah kepadanya terlebih dahulu sebaliknya dihantar terus ke pihak berkenaan.

Zaharah antara yang terlibat secara langsung dalam pengambilan tanah itu tetapi beliau memberitahu tidak pernah melihat surat yang mengandungi maklumat penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang antaranya menyatakan nilai tanah adalah RM21 sekaki persegi (skp).

Beliau, yang merupakan saksi keenam pendakwaan dalam kes perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik itu berkata beliau melihat surat tersebut buat pertama kali ketika disoal siasat oleh polis.

NONE Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok.

- Bernama

ADS