Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang bekas pegawai kanan Kementerian Pengangkutan berkata beliau pernah "menasihatkan" Tun Dr Ling Liong Sik bahawa adalah lebih baik mengambil alih tanah - daripada membelinya - untuk Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dalam keterangan hari ini, ketua setiausaha ketika itu, Zaharaah Shaari berkata, beliau berbuat demikian sewaktu satu perbincangan sama ada perlu membayar harga pembelian tanah yang mahal atau pengambilan tapak seluas 999.5 ekar di Pulau Indah boleh diambil alih dengan kos yang lebih rendah.

Zaharaah, 62, dan kini telah bersara, berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Ling sewaktu rundingan dengan pemilik tanah - Kuala Dimensi Sdn Bhd - tetapi tidak dapat ingat tarikhnya.

Beliau juga ditanya sama ada menjadi kewajipan ketua

setiausaha untuk memaklumkan kepada menteri sekiranya "arahan dan keputusan atau keputusan kabinet" akan bercanggah denagn kepentingan awam.

Secara umumnya, kata Zaharaah, sekiranya pihaknya tahu ada sesuatu yang melanggar undang-undang, pihaknya perlu memberi nasihat secepat mungkin.

Beliau memberitahu demikian ketika disoal balas oleh peguambela Wong Kian Kheong.

NONE Menurutnya, beliau masih ingat memberitahu Lim bahawa pengambilalihan tanah adalah cara terbaik dan begitulah yang biasanya dilakukan oleh pihak kerajaan.

Dr Ling (kiri) didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam prosiding hari ini, Zaharaah yang merupakan saksi keenam pendakwaan dan pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan ketika diterajui dua menteri iaitu Dr Ling dan Tan Sri Chan Kong Choy, berkata beliau terlibat secara langsung dalam projek PKFZ bagi urusan pengambilan balik tanah.

   

Kepada soalan lain, Zaharah berkata beliau tidak ingat sama ada pernah membangkitkan isu harga tanah ketika berkhidmat dengan kedua-dua menteri berkenaan.

   

Beliau turut memaklumkan bahawa Dr Ling tidak mempunyai apa-apa kepentingan berhubung pembelian atau pengambilan tanah di Pulau Indah.

Terdahulu, beliau berkata dua pegawai bawahannya iaitu bekas Timbalan KSU Datuk Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim P.Chandrasekaran tidak pernah membangkitkan isu harga tanah.

   

Zaharaah berkata jika terdapat masalah dalam projek PKFZ, kedua-dua pegawai bertanggungjawab memaklumkan perkara itu kepadanya, dan beliau perlu memberitahu Dr Ling sebelum tertuduh memberi gambaran sebenar kepada Jemaah Menteri.

   

Mengenai harga tanah pada kadar RM25 sekaki persegi (skp), beliau berkata ia merangkumi jumlah faedah dan segala kos bagi tempoh pembayaran balik selama 10 tahun.

   

"Pandangan saya berasaskan keputusan yang dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menyatakan kadar kupon 6 peratus dan terma bayaran balik 10 tahun.

   

"Selain apa yang difahamkan (laporan JPPH), saya ada bertanya kepada wakil JPPH dalam mesyuarat, adakah RM25 termasuk faedah," katanya ketika ditanya Wong sama ada beliau yakin nilaian itu termasuk faedah.

   

Bagaimanapun, Zaharah berkata beliau tidak membuat catatan atau sebarang rekod bahawa RM25 skp itu adalah termasuk faedah, dan tidak ingat sama ada pernah menghantar memo kepada Dr Ling berhubung perkara itu.

   

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok.

ADS