Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banglo: Bicara saman Khir ditangguh ke Feb
Diterbitkan:  Sep 19, 2011 3:42 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sekinchan Ng Suee Lim yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke Februari tahun depan.

Tarikh baru perbicaraan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam Dr Badariah Sahamid pada 1, 2, 13 hingga 16 Feb 2012.

NONE Dr Mohamad Khir, dalam samannya yang difailkan pada Januari tahun lepas, mendakwa Ng cuba mencemarkan imejnya menerusi satu kenyataan, termasuk dalam media, berhubung pemilikan sebuah banglo.

Ng, dalam kenyataan pembelaannya, mendakwa beliau mempunyai justifikasi bersyarat untuk mendedahkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar itu.

ADUN Sekinchan itu menafikan bahawa kenyataan berkenaan adalah fitnah, sama ada daripada segi fakta atau undang-undang.

Ng juga berkata kenyataan itu adalah ulasan adil yang dibuat demi kepentingan awam dan benar daripada segi fakta serta kandungan.

Pada 6 Julai 2009, ADUN daripada DAP itu mendakwa Dr Mohamad Khir membelanjakan kira-kira RM24 juta untuk membeli sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam sedangkan pendapatan beliau dianggarkan hanya RM576,000 setahun, atau sejumlah RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun beliau menyandang jawatan.

khir toyo mansion 060709 06 Dr Mohamad Khir menafikan dakwaan itu dan berkata banglo itu berharga hanya RM3.5 juta dan dibeli menggunakan pinjaman bank selama 30 tahun.

Bagaimanapun, pada 6 Disember tahun lepas, bekas menteri besar itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 dan beliau dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan Mohamad Khir membela diri terhadap tuduhan itu dan menetapkan 26 hingga 30 September ini untuk pembelaan.

- Bernama

ADS