Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi menepis pandangan bahawa bahawa mahkamah di negara ini tidak bebas memandangkan kerajaan juga kalah dalam banyak kes yang dibawa ke mahkamah.

Zaki mengakui bahawa persepsi itu sukar untuk diubah namun keputusan mahkamah seperti yang dijalankan ke atas Felda supaya membayar sejumlah RM11 juta kepada sekumpulan peneroka di Kelantan menunjukkan perkara sebaliknya.

zaki azmi interview 140911 "Bagaimanapun, persepsi masyarakat umum bukan perkara yang benar. Saya cadangkan, anda semak semua kes itu. Gali semula, berapa kes yang kerajaan telah tewas. Contoh paling baik ialah kes Felda (Kemahang 3)... Saya beri RM11 juta kepada peneroka.

"(Persepsi) itu tidak penting, saya telah buat keputusan. Saya terima maklum balas (yang bertanya) 'kenapa anda buat keputusan (seperti itu)?'. Tapi saya jawab itu adalah undang-undang kerana peguam Felda tiada di situ (gagal hadiri prosiding).

"Jadi, samanlah peguam," katanya lagi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini , sehari selepas beliau menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Selasa lalu.

Pada 19 Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menafikan permohonan Felda untuk mengenepikan rayuan ke atas keputusan supaya lembaga berkenaan membayar RM11 juta kerana menipu 354 orang peneroka.

Ketika membacakan keputusan itu, Zaki berkata mahkamah berpuas hati bahawa tiada apa-apa bahagian dalam undang-undang itu yang perlu diteliti oleh Mahkamah Persekutuan dan seterusnya mengekalkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan.

Bercakap kepada Malaysiakini , Zaki turut menyatakan bahawa ramai tahanan yang membuat permohonan habeas corpus telah dilepaskan dan kerajaan tewas dalam kes berkenaan.

“Tengok sahaja berapa ramai yang kita telah lepaskan... Saya katakan dalam ucapan saya – lebih susah untuk tukar persepsi daripada mengatakan bahawa mahkamah berat sebelah atau tidak, jika satu keputusan itu pro-kerajaan atau sebaliknya," katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau berpandangan bahawa lebih banyak keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Zaki juga berkata, satu pekeliling telah dikeluarkan sebelum untuk mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi untuk mendengar kes habeas corpus dalam tempoh sebulan manakala di Mahkamah Persekutuan pula dalam tempoh sebulan selepas itu.

“Paling lama, ia akan (ambil masa) enam bulan dan berbeza dengan sebelum ini kes habeas corpus akan didengar atau diselesaikan dalam tempoh dua tahun. Keputusan seperti itu akan dikira akademik (apabila dibuat). Di United Kingdom, mahkamah akan bersidang pada hujung minggu dan selepas waktu kerja apabila berkaitan habeas corpus .

Kes tertangguh berkurangan

Zaki berkata beliau dibawa masuk sebagai Ketua Hakim Negara untuk menyelesaikan longgokan kes tersebut – ada di antaranya terpaksa menunggu antara 10 hingga 15 tahun untuk diputuskan.

“Jika begini keadaannya, tiada keadilan. Jika seseorang diletakkan di dalam tahan dan kes habeas corpus mengambil masa dua tahun, adakah ini keadilan?" katanya lagi yang mengakui bahawa terdapat kes yang berlarutan sehingga tiga bulan atas sebab tertentu.

zaki azmi interview 140911 "Paling lama ia (ambil masa) enam bulan. Tetapi sebelum saya bersara, saya beri arahan kepada Mahkamah Persekutuan untuk dengar kes habeas corpus dalam tempoh dua bulan," katanya lagi.

Katanya lagi, bukan peguam kerajaan yang selalu memohon untuk menangguhkan kes habeas corpus . Sebaliknya, berdasarkan nota rayuan, peguam plaintif yang memohon untuk penangguhan atas alasan untuk membuat rundingan dengan kerajaan.

“Saya tidak ada rekod tapi anda boleh tanya pengganti saya (Tan Sri Arifin Zakaria), siapa yang melengah-lengahkan? Bukan kerajaan (yang melengahkan kes).

"Jika anda kata anak guam anda ditahan secara salah, anda mahu supaya kes itu bergerak secepat yang boleh supaya dia boleh dibebaskan sekiranya dia tidak bersalah.

"Ada satu kes yang saya (hakimi) di Mahkamah Persektuan, terdapat 15 penangguhan dan kesemua ini dibuat oleh peguam kepada tahanan," katanya lagi.

Dalam ucapan terakhirnya di satu persidangan hakim awal bulan ini, Zaki berkata sebanyak 95,523 kes sivil dan 4,544 kes jenayah yang tertunggak di Mahkamah Tinggi.

“Untuk kes sivil, kes berkenaan didaftarkan seawal 1987 lagi manakala kes jenayah pula didaftarkan sejak tahun 2,000.

“Sekarang, kes sivil tertunggak telah dikurangkan kepada 27,723 kes, pengurangan sebanyak 71 peratus dan untuk kes jenayah pula dikurangkan sebanyak 16 peratus kepada 3,803 kes," katanya.

ADS