Arahan supaya semua pemilik kenderaan perdagangan mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka membuktikan kerajaan tidak cekap, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
"Pertama, arahan itu menyusahkan dan membebankan kerana pengusaha dan pekerja kenderaan awam yang berpendapatan rendah terpaksa meninggalkan kerja mereka untuk mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka.
"Kesusahan dan bebanan tersebut menjejaskan produktiviti dan nafkah mereka," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.
Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan tidak mempunyai maklumat berkaitan.
"Jika SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) begitu ketinggalan dan tidak mempunyai database (pengkalan data) yang berkaitan, ia sepatutnya boleh mendapatkan kerjasama dari kementerian dan agensi lain yang berkaitan.
"Adakah JPJ (Jabatan Penangkutan Jalan) tidak mempunyai data yang berkaitan untuk membolehkan SPAD memanfaatkannya serta menguruskan pendaftaran semula itu dapat melaksanakan urusan berkenaan dengan lebih cekap," kata Salahuddi yang mendakwa menerima aduan pihak terlibat.
Salahuddin juga hairan mengapa SPAD diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Sepatutnya SPAD berada di bawah Kementerian Pengangkutan. Apabila ia tidak berada di bawah kementerian berkenaan, adakah Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy tidak berkeupayaan dan tidak berkemampuan mengawalselia perjalanan SPAD?
"Atau, adakah ia bukti krisis kepercayaan para pemimpin Umno terhadap para pemimpin MCA yang berada dalam kerajaan?" tanya beliau.
SPAD menggesa semua pemilik kenderaan perdagangan yang masih belum mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka supaya berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.
Sekiranya tidak, mereka akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Darat 2010.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh untuk mendaftarkan semula lesen operasi tersebut kerana masa yang cukup telah diberikan kepada semua pemilik kenderaan tersebut.
Berikutan itu, kata beliau, jika pemilik kenderaan gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut akta sama.
