Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Rakyat bersetuju untuk menyertai jawatankuasa khas  parlimen untuk menambah baik proses pilihan raya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wakil daripada PAS, PKR dan DAP akan diberi mandat untuk membawa pandangan Pakatan ke dalam jawatankuasa terpilih itu.

Wakil berkenaan juga akan menyertai jawatankuasa tersebut bagi melihat sama ada usaha tersebut hanyalah satu helah untuk melengahkan reformasi pilihan raya, katanya.

Anwar yang juga ketua umum PKR mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

"Pendekatan kita adalah menuntut supaya adanya pilihan raya bersih dengan reformasi keseluruhan proses dan pelaksanaan.

"Ini kita akan tegaskan dan wakil-wakil kita diberi mandat penuh untuk pastikan jawatankuasa terpilih ini bukan satu helah untuk melengahkan proses reform pilihan raya," katanya dalam satu sidang media lewat petang ini.

Tambahnya, Pakatan tidak mahu jika pilihan raya diadakan sebelum jawatankuasa itu selesai menjalankan tugasnya.

"Pada peringkat ini kita mengambil pendekatan terbuka, memberi kerjasama penuh bagi menyegerakan rundingan dengan mandat yang dikemukakan selama ini oleh BERSIH dan juga pendirian pakatan rakyat," katanya lagi.

Ketika ditanya, Anwar berkata Pakatan menyerahkan kepada parti masing-masing untuk menamakan wakil ke dalam jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai empat wakil BN, tiga wakil Pakatan, seorang wakil bebas dan akan dipengerusikan menteri.

ADS