Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS WP gesa batal bacaan kedua Akta Kg Baru
Diterbitkan:  Sep 22, 2011 2:14 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendakwa majoriti penduduk Kampung Baru menolak rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen yang bersidang mulau bulan depan.

Oleh itu, DPPWP kesal kerana Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkeras mahu membawa rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru untuk bacaan kali kedua di Parlimen.

"Bagi DPPWP, menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan bersikap sombong dari mendengar keluhan dan rayuan pemilik asal Kampung Baru," kata timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

"Rata-rata penduduk Kampung Baru menolak bacaan kali kedua rang undang-undang ini. Sepatutnya jika kerajaan prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan perlu menghormati kehendak penduduk Kampung Baru sebelum membuat keputusan.

"Hasil tinjauan DPPWP ke Kampung Baru sendiri, (mendapati) banyak sepanduk yang dipasang penduduk tempatan menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan rang undang-undang ini.

"Apakah ertinya rang undang-undang ini jika ia diluluskan kelak di parlimen, sedangkan rakyat di bawah terutama di Kampung Baru sendiri menolaknya?" tegas Mohamad Suhaimi lagi

Katanya, Kampung Baru adalah antara kampung tradisi milik orang Melayu di Kuala Lumpur.

Selain Kampung Baru, tambahnya, banyak kampung yang telah dirobohkan manakala penduduknya terpaksa berhijrah dan menjadi mangsa hasil pembangunan pesat Ibukota.

"Yang menjadi mangsa ini pula majoritinya adalah Orang Melayu. Mengapa pemimpin negara yang sebangsa dengan penduduk Kampung Baru tidak boleh mengalah dan berlembut dengan rakyatnya serta di tanah tumpah mereka sendiri?" soalnya.   

Mohamad Suhaimi berkata jika mercu tanda bagi Kampung Melayu di Kuala Lumpur ini juga hendak di ‘mangsa’kan, maka apakah hasil peninggalan Orang Melayu di Kuala Lumpur yang boleh dibanggakan lagi.

"Penduduk Kampung Baru bukan tidak mahukan pembangunan, tetapi biarlah mereka sendiri yang menentukan bentuk pembangunan tersebut. Banyak lagi tanah di Kuala Lumpur yang boleh di majukan selain dari Kampung Baru.

"Bahkan, DPPWP percaya dengan mengekalkan imej Kampung Baru, ia sendiri akan menjadi suatu tarikan kepada pelancong yang mahu melihat tradisi Kampung warisan Melayu ini," katanya.

Menurutnya, jika kerajaan benar-benar berhasrat mahu memajukan Kampung Baru, maka insentif berbentuk kewangan kepada penduduk asal boleh diberikan untuk menaiktaraf kediaman mereka sendiri.

"Kerajaan juga boleh meningkatkan infrastruktur asas seperti pelebaran jalan raya, dewan orang ramai, surau dan masjid, serta tempat parkir yang mencukupi bagi pengunjung, dan ruang yang selesa buat peniaga kecil di kawasan itu.

"Akhirnya, DPPWP dan juga rakyat khususnya penduduk Kampung Baru mendesak agar kerajaan membatalkan bacaan kali kedua rang undang-undang Kampung Baru di Parlimen Oktober nanti.

"Kampung Baru menjadi tanda aras kepada kebangkitan rakyat di seluruh negara, dan jangan menyesal jika rakyat bangkit menolak Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13 jika kerajaan tetap menolak tuntutan penduduk Kampung Baru," tegas Mohamad Suhaimi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS