Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz: Jangan takut dengan hukum hudud
Diterbitkan:  Sep 25, 2011 10:08 AM
Dikemaskini: 4:26 AM

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada yang perlu ditakutkan sangat dengan hukum hudud kerana ia adalah perundangan yang digariskan Allah SWT.

NONE Malahan katanya, undang-undang sedia ada yang dilaksanakan di negara ini jauh lebih zalim kerana memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan tertentu yang tidak terdapat dalam hukum hudud.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu.

“Di Malaysia ada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan jual dadah, merompak dan sebagainya tetapi orang tak kata apa pun... bagaimana dengan keluarga yang suaminya digantung sampai mati? Hudud tak mati, kenapa orang tak marah hukumam gantung sampai mati tapi marahkan saya pasal hudud?

Menurut mursyidul am PAS itu, hudud adalah undang-undang Allah dan sebagai parti pemerintah, PAS hanya menjalankan kewajipan sekadar menyenaraikannya dalam dalam senarai undang-undang Kelantan.

Jelasnya, yang akan melaksanakan hukum hudud adalah hakim yang dilantik dan bukan dirinya atau pemimpin PAS yang lain.

hudud “Kalau dibandingkan dengan hukuman gantung yang lebih kejam daripada hudud, hudud tak mati, cuma kerat tangan itu pun perlu ikut syarat-syarat yang ditetapkan. Hukum hudud tak mati, malah mereka masih boleh bekerja macam orang biasa,” katanya dipetik TV Selangor ketika berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Tuan Guru di dataran parkir Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di Kuala Lumpur malam semalam.

Mursyidul Am PAS itu sebelum ini tetap dengan pendiriannya akan menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Sejak awal 1990-an, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berusaha untuk melaksanakan undang-undang itu tetapi tersekat berikutan amaran dan halangan kerajaan pusat, khususnya pada 1994.

azlan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara peribadi berkata beliau menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi perkara itu belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Tambah Nik Aziz, hukuman hudud tidak semestinya dilaksanakan, namun mahu ia dimasukkan dalam undang-undang syariah Islam sedia ada.

“Dekat pilihan raya timbul balik, saya di Kelantan hanya nak masuk dalam undang-undang syariah Kelantan, lepas pada itu terserah kepada hakim (untuk laksanakan), bukan saya yang laksanakan.

“Bukan saya atau orang politik laksanakan, hakim yang tentukan,” katanya.

Pada ceramahnya itu, Nik Aziz juga berkata ajaran Islam bukan diwujudkan oleh PAS tetapi Allah dan semua mereka yang beragama Islam perlu mengikut perintah dan meninggalkan larangannya.

“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Islam bukan dari PAS... dari Allah, Islam adalah cara hidup dan semuanya perlu ikut cara Islam.

“Pangkah parti yang boleh selamatkan Islam, sekarang bukan Islam sahaja, demokrasi pun tak selamat... Islam datangnya dari Allah, bumi, langit dan kita, Allah yang punya,” katanya.

ADS