Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) bertegas bahawa Lawrence Selvananthan yang jenazahnya menjadi rebutan antara keluarga dan agensi itu - telah memeluk Islam sebelum meninggal dunia, minggu lalu.

Malah, menurut Pengarah JAINS Johani Hassan yang dihubungi Malaysiakini melalui telefon hari ini, beliau mempunyai salinan sijil dan video bagi membuktikan bahawa Lawrence telah memeluk agama Islam pada 19 September lalu.

“Kita ada sijil dia peluk Islam dan juga video bagi buktikan perkara itu,” katanya.

Status agama Lawrence, 33, yang meninggal dunia mencetuskan kekeliruan pada keluarganya apabila JAINS datang ke rumah menuntut jenazahnya pada Khamis lalu kerana mendakwa si mati telah memeluk Islam tiga hari sebelumnya.

Situasi tersebut menimbulkan ketegangan antara keluarga dan kira-kira 30 pegawai pihak berkuasa agama dan pegawai polis.

Sehubungan itu, Johani berkata pihaknya akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menghalang JAINS daripada mengkebumikan jenazah itu mengikut ajaran Islam.

“Kita telah dapat perintah mahkamah supaya (mereka) serahkan mayat itu (kepada JAINS) tetapi mereka enggan.

"(Jadi) kita telah kaji untuk ambil tindakan ‘contempt of court’,” kata Johani tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Sebelum ini, JAINS yang telah mendapat perintah mahkamah tetapi gagal untuk menuntut jenazah berkenaan.

Bagaimanapun sewaktu jenazah berkenaan masih menjadi pertikaian kedua-dua pihak, rakan-rakan si mati mengambil tindakan sendiri menyempurnakan mayatnya.

Difahamkan mereka membawa mayat itu ke sebuah gereja di Seremban untuk upacara persemadian dan memutuskan membakarnya serta menyimpan abunya di Segamat.

Lawrence, seorang pemandu lori, dilaporkan tidak sedarkan diri dalam lorinya, oleh anggota keluarga, dan disahkan mati setibanya di hospital besar Seremban pada malam 21 September lalu. Punca kematiannya tidak jelas.

ADS