Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang penasihat undang-undang kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru berkata, cadangan pindaan yang akan dibuat ke atas Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru hanyalah satu "pindaan kosmetik."

Zulhazmi Shariff berkata, cadangan pindaan yang disediakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu tidak memberi apa-apa perubahan kepada kuasa mutlak menteri dalam Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB).

"Kenapa menteri berhak lantik semua orang dalam lembaga perbadanan dan perbadanan itu semuanya tertakluk kepada menteri, bukannya pemilik tanah?

"Sedangkan isu sebenarnya ialah isu pemilik tanah," kata Zulhazmi lagi ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Cadangan pindaan yang dibantah itu disediakan oleh kementerian dalam satu mesyuarat pada 5 April lalu.

Ia dijangka akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa parlimen selepas rang undang-undang tersebut dibaca buat kali kedua apabila parlimen bersidang pada Oktober.

Rang undang-undang yang dibaca buat kali pertama pada 17 Disember tahun lalu itu memberi kuasa kepada menteri wilayah untuk melantik seorang pengerusi, empat wakil kerajaan persekutuan dan seorang wakil kerajaan negeri.

Selain itu, menteri juga berkuasa penuh untuk melantik dua orang wakil tuan tanah Kampung Baru serta enam orang anggota lain bagi mentadbir badan berkenaan.

Cadangan pindaan itu menyatakan satu lagi jawatan timbalan pengerusi, yang juga dilantik mengikut kuasa menteri, manakala dua orang wakil tuan tanah berkenaan digantikan dengan enam orang wakil NGO, juga dengan kuasa menteri.

Batal bubar MAS

Selain itu, turut dipertikaikan ialah cadangan pindaan yang membatalkan pembubaran undang-undang penubuhan Lembaga Pengurusan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan juga lembaga terbabit.

"Kalau dia bubarkan MAS dan enakmen tersebut, Kampung Baru sendiri akan dibubarkan kerana Kampung Baru wujud disebabkan undang-undang tersebut.

"Bila orang kampung bantah (pembubaran), kerajaan tarik balik. Jadi enakmen itu masih wujud dan lembaga pentadbiran MAS masih wujud.

"Tapi kalau MAS masih wujud, apa perlunya perbadanan (PPKB)?," katanya yang menambah, kuasa MAS untuk mentadbir Kampung Baru menyamai kuasa PPKB.

Jelasnya lagi, PPKB akan mempunyai tugas dan peranan yang sama seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor.

"Mereka berkuasa tarik pelabur, menggazetkan sesuatu kawasan sebagai kawasan komersil dan menarik pelabur untuk membangunkan kawasan tersebut. Kesannya, penduduk kena pindah.

"Itu yang penduduk tidak mahu. Sepatutnya (PPKB) hanya menyewa tanah daripada pemilik jika hendak membangunkan tanah tersebut. Bukannya dengan cara memerintah mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS