Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
12.3 juta pemilih berdaftar, 70,361 nama dipotong
Diterbitkan:  Sep 28, 2011 9:35 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 Sept lalu setelah disahkan meninggal dunia.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan, SPR juga telah memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

azlan Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam kenyataan media berkata tindakan itu diambil dalam proses semasa pembersihan senarai Daftar Pemilih membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang.

Katanya SPR juga sedang membuat siasatan lanjut terhadap 50,000 nama pemilih berdaftar.

Kamaruddin berkata dalam proses pembersihan itu, SPR membuat semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya semakan rekod pemilih melalui proses pembersihan Daftar Pemilih adalah secara berterusan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

azlan Katanya hasil semakan itu mendapati ada nama-nama pemilih berdaftar dikeluarkan atas pelbagai sebab seperti pelucutan kewarganegaraan, meninggal dunia atau bersara daripada perkhidmatan polis atau tentera.

Selain itu, Kamaruddin berkata semakan Daftar Pemilih juga melibatkan pertukaran status pengundi dan perubahan status pemilih awam kepada pemilih pos dan sebaliknya.

Beliau berkata SPR juga menyediakan kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih (Borang A) melalui laman web di alamat www.spr.gov.my.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pendaftaran sebagai pemilih tidak boleh dibuat atas talian tetapi sebaliknya perlu menghantar Borang A itu ke kaunter pendaftaran pemilih SPR.

Katanya borang berkenaan tidak boleh dihantar melalui pos, faks ataupun e-mel.

"Ia bertujuan memastikan pembawa borang berkenaan adalah pemohon yang sebenar," katanya.

Katanya tersebut adalah selaras dengan tuntutan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menghendaki pemilih hadir sendiri ke kaunter pendaftaran pemilih.

- Bernama

ADS