Bil keganasan rumahtangga diluluskan

Beberapa ahli Parlimen hari ini menyelar perbuatan lelaki yang melakukan penderaan serta keganasan terhadap golongan wanita serta kanak-kanak.

Sehubungan itu, mereka menyifatkan usaha kerajaan meminda Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga sebagai tepat pada waktunya memandangkan kes-kes keganasan rumah tangga semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

NONERang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2011 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie (kiri) bertujuan melindungi mangsa, tidak terhad kepada penderaan fizikal sahaja bahkan merangkumi aspek penderaan emosi, mental dan psikologi.

Pindaan itu juga akan membenarkan mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghalang pihak ketiga daripada melakukan keganasan terhadap mangsa dan memudahkan urusan mendapatkan Perintah Perlindungan.

Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) berkata isteri yang keluar rumah tanpa meminta izin suami tidak boleh dijadikan alasan untuk suami melakukan keganasan rumah tangga.

domestic violence maritial rape"Ada isteri dipukul suami kerana keluar rumah tanpa izin suami dan si isteri menganggap itu salah mereka dan rela dipukul dan menganggap itu sebagai bukan keganasan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang itu.

Nancy berkata kesedaran wanita terhadap masalah keganasan rumah tangga amat diperlukan dan pengetahuan tentang keganasan rumah tangga juga perlu ditingkatkan supaya golongan wanita tidak ditindas.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu peruntukan bagi menubuhkan majlis keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi badan khusus untuk menguruskan kes-kes keganasan rumah tangga, sekaligus melindungi mangsa.

NONEChong Eng (kiri, tengah) (DAP-Bukit Mertajam) yang turut membahaskan rang undang-undang itu meminta supaya pendamai dan perunding masalah keganasan rumah tangga itu hendaklah daripada kalangan yang berpengalaman dan terlatih.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Heng berkata pindaan akta ini turut terpakai untuk penderaan terhadap suami dan tidak hanya terhad kepada wanita sahaja.

Bagaimanapun, katanya kes keganasan rumah tangga disebabkan lelaki adalah tinggi jumlahnya pada tahun lepas iaitu 3,173 kes manakala kes disebabkan wanita pula sebanyak 69 kes.

Rang Undang-Undang itu kemudiannya diluluskan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.