Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiada apa lagi untuk diumumkan berkaitan siasatan terhadap tindakan polis menyuraikan orang ramai di Hospital Tung Shin dalam perhimpunan BERSIH 2.0 lalu.
Katanya, semua penemuan hasil siasatan kementeriannya telah diumumkan kementeriannya malam tadi.
"Saya rasa semua yang disiasat memang sudah jelas keseluruhannya. Jadi, kebenarannya sudah tersingkap.
"Kita sangat telus dengan apa yang terjadi. Kami mahu hindari semua kekeliruan," katanya ketika ditanya sama ada laporan lengkap siasatan akan diumumkan pada orang awam.
Bercakap dalam sidang media di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya petang ini, Liow enggan mengulas laporan itu secara terperinci.
"Pagi tadi sudah ada sidang media. Saya sudah cakap terperinci. Jadi tak perlu cakap lagilah. Semua akhbar dah tahu," katanya.
Ditanya tentang 'keangkuhan' pihak berkuasa yang menafikan banyak dakwaan sebelum ini, Liow menafikan perkara itu.
"Penafian apa? Tiada penafian. Saya rasa tiada penafian sama sekali... Harap kamu baca laporan betul-betul," katanya.
Katanya, ia mungkin disebabkan banyak kekeliruan sebelum ini dalam membezakan kesan kanister, meriam air dan bom asap.
Selain itu, terdapat juga kekeliruan tentang tempat kejadian sama ada berlaku di hospital, tempat parkir atau Hospital Bersalin Cina.
"Harap semuanya jelas. Kita telus dan semoga tiada lagi kekeliruan," katanya yang beberapa kali meminta petugas media membaca kembali laporannya malam tadi.
Siasatan dalaman Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan bahawa pihak polis telah melanggar garis panduan operasi polis (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin pada Julai lalu.
Mengulas laporan siasatan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam, dalam satu kenyataannya semalam, berkata anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.
“Keputusan siasatan mendapati bahawa memang wujud tindakan tidak beretika dan di luar daripada garis panduan operasi polis (SOP) oleh kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan dalam menangani ahli perhimpunan yang secara salah mempergunakan premis hospital tersebut,” kata Mahmood.
Laporan itu juga mengesahkan bahawa meriam air polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin.
“Bagaimanapun, tindakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk menyuraikan kelompok penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di dalam hospital," kata Mahmood.
Siasatan dalaman itu juga mengesahkan gas pemedih mata dilepaskan dari arah premis Waz Lian oleh anggota polis ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di luar kawasan hospital.
Sebelum ini, pemimpin kerajaan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada mulanya menafikan dakwaan bahawa gas pemedih mata, bom asap dan meriam air telah dilepaskan ke kawasan hospital semasa perhimpunan 9 Julai lalu.
Walau bagaimanapun, gambar-gambar yang telah diedarkan secara meluas di Internet mencadangkan sebaliknya. Ini memaksa kerajaan untuk mengumumkan pembentukan “Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi Kementerian Kesihatan".