Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pihak polis telah mengenal pasti anggotanya pada perhimpunan BERSIH 2.0, 9 Julai lalu  didakwa menggunakan kekerasan yang berlebihan dalam usaha cuba menyuraikan penunjuk perasaan itu.

ipd kl bersih 090711 ku chin wah Ketika dihubungi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Ku Chin Wah berkata laporan polis telah dibuat ke atas anggota itu - yang didapati memakai bandana (kain tutup muka) semasa perhimpunan itu - tetapi tiada pendakwaan akan dilakukan.

"Perkara ini telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan tiada tindakan selanjutnya boleh diambil terhadapnya kerana ketiadaan saksi," katanya kepada Malaysiakini .

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang menyatakan "menyerang atau menggunakan kekerasan yang berlebihan kecuali diprovokasi secara serius” adalah suatu kesalahan.

Di bawah undang-undang ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 ringgit atau kedua-duanya sekali.

masked policeman assault 051011 Walau bagaimanapun, pegawai yang ingkar itu akan tertakluk kepada tindakan tatatertib kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menyuraikan orang ramai.

Berikutan perhimpunan itu, gambar-gambar dan video berhubung penyalahgunaan kuasa polis  membanjiri internet, terutamanya pada laman web rangkaian sosial popular Facebook.

Antara gambar yang dirakamkan menunjukkan seorang anggota polis yang memegang sepasang gari dalam genggaman beliau dengan mukanya ditutup dengan sehelai sapu tangan yang besar, atau bandana.

Menurut beberapa pengguna Facebook, polis bertopeng yang digambarkan itu juga tidak mempunyai nama atau nombor keanggotaannya yang disulam pada pakaian seragamnya.

Video yang dimuat-naik di laman web perkongsian video YouTube kemudian menunjukkan ‘apa yang kelihatan seperti orang yang sama’ menumbuk dua peserta perhimpunan sebanyak dua kali di bahagian perut mereka.

Lelaki itu dilihat menyerang mangsanya tanpa berlaku sebarang provokasi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan individu itu adalah orang yang sama yang dirujuk oleh Ku.

Malaysiakini juga tidak dapat memastikan sam ada individu berkenaan adalah orang yang sama yang akan menghadapi tindakan disiplin seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berhubung kejadian di Hospital Tung Shin.

bersih rally 090711 police shooting into tung shin hospital Isnin lalu, siasatan dalaman Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa pihak polis telah melanggar garis panduan operasi polis (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam, berkata anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.

Laporan itu juga mengesahkan bahawa meriam air dan bom asap polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin.

 

ADS