Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain berkaitan perbekalan atau bajet, Pakatan Rakyat sebagai minoriti dalam parlimen tidak berupaya menolak undang-undang yang dibentangkan, termasuk Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.

ops scorpene dinner 220711 tian chua "Selain daripada undang-undang perbekalan atau bajet, tidak wujud (keadaan) kita sebagai minoriti boleh tolak. (Kita) tidak ada jalan untuk menolak rang undang-undang itu.

"Sebab dalam peraturan parlimen, kalau malam itu dia (BN) tidak cukup bilangan (undi), (mereka) boleh masuk keesokkan hari. Kalau ditolak malam itu, keesokkan hari boleh dibentang semula dan diundi," katanya.

Ahli parlimen Pakatan gagal menyekat rang undang-undang itu apabila undian yang diminta mereka menyaksikan 72 anggota dewan menyokong manakala hanya 28 tidak bersetuju ia dibacakan kali kedua.

Kegagalan itu menimbulkan kekecewaan pelbagai pihak, antaranya NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menyifatkan kehadiran kecil anggota parlimen Pakatan menjukkan "seolah-olah mereka tidak serius".

Tian berkata, isu sama ada minoriti boleh menolak rang undang-undang yang dibentangkan tidak wujud dalam mana-mana parlimen demokrasi kecuali berlaku perpecahan undi parti pemerintah.

"(Contohnya) Gerakan atau MIC berpecah dan mereka kata, kami akan undi berbeza," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam majlis penerangan "Selamatkan Kampung Baru" malam tadi.

"Jadi tidak wujud, (sama ada) kita hadir 28 orang, 70 orang, atau 80 orang, kita tidak ada keupayaan tolak undang-undang itu."

Sebaliknya, Tian yang juga ahli parlimen Batu berkata, isu sebenar mengapa Umno tergesa-gesa pada hari pertama persidangan mengusulkan draf pindaaan tersebut.

"Itu isunya. Oleh itu jangan kita tersilap isu dan keluar daripada sasaran perbincangan kita," tegas Tian Chua.

ADS