Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO tuntut gereja mohon maaf terbuka
Diterbitkan:  Oct 11, 2011 5:46 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Ekoran titah Sultan Selangor bahawa wujud cubaan memesongkan akidah umat Islam, NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

abdullah zaik pembela seminar on islam under seige "ISMA menuntut agar pihak DUMC mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam, sebab ternyata daripada titah tuanku bahawa kegiatan itu benar-benar berlaku walaupun tidak cukup bukti untuk dibawa kepada pendakwaan," kata Presiden ISMA Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan itu wjud dalam siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap DUMC tetapi bukti tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Dalam kenyataannya hari ini, Abdullah berkata, pihaknya juga amat bersetuju dengan titah sultan supaya mangsa dakyah diberi kaunseling supaya kekeliruan terhadap akidah dapat diperbetulkan.

NONE "Kita sepatutnya mengambil pendekatan mengasihani mereka dan bukannya menghukum.

"Saya percaya dalam konteks kes yang berlaku mereka adalah mangsa dan tidak boleh dianggap sebagai penjenayah," katanya.

Abdullah, juga mengesyorkan majlis dan jabatan agama semua negeri mengambil iktibar dan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mencegah umat Islam dari terpaut dengan dakyah dan taktik gerakan Kristian.

ISMA juga bersetuju dengan saranan agar kualiti perkhidmatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipertingkatkan untuk "mengelakkan tohmahan daripada pihak-pihak yang ingin mencari kesalahan".

"Pihak penganjur majlis di DUMC yang terlepas daripada dakwaan pada kali ini harus menjadi ukuran," kata Abdullah lagi.

Secara keseluruhannya, Abdullah menyifatkan titah Sultan Selangor semalam memberikan keyakinan kepada umat Islam terhadap keselamatan akidah generasi akan datang daripada ancaman kristianisasi.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Amidi Abdul Manan ( bawah, kiri ) pula berkata titah Sultan Selangor itu amat rasional dan menjunjung prinsip ihsan seperti yang dianjurkan dalam Islam.

NONE Katanya titah baginda itu begitu tegas dan berani dalam menyatakan kebenaran mengenai cubaan pemesongan akidah umat Islam tapi dalam masa yang sama menganjurkan rasa hormat bagi memelihara keharmonian pelbagai agama.

"Jelas, baginda amat memahami prinsip pemuafakatan dan dalam masa yang sama tegas mengekang golongan pelampau agama," kata Amidi.

Beliau berkata tindakan JAIS yang jelas mematuhi peruntukan landasan undang-undang memberi mesej yang jelas kepada pihak berkenaan agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Katanya pihak berkenaan seharusnya diberikan pemahaman mengenai peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan mengenai kesucian Islam agar mereka tidak cuba mengulangi perbuatan itu.

ADS