Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh: Bekalan beras cukup, tak perlu pembelian panik
Diterbitkan:  Oct 11, 2011 6:23 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Bekalan beras dijamin mencukupi dan harga tidak akan naik, sehubungan itu rakyat dinasihatkan tidak membuat pembelian panik, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

NONE Beliau berkata meskipun negara pengimport utama beras negara iaitu Thailand dilanda banjir teruk, tetapi ia tidak akan menjejaskan bekalan beras negara.

"Jadi tidak perlu untuk membuat sebarang spekulasi atau pembelian panik kerana situasi di Thailand tidak akan memberi kesan secara drastik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Herbs: Extracting Intellectual Property Values From Herbs' di Putrajaya  hari ini.

Noh berkata, bekalan beras mencukupi kerana perjanjian hadapan yang ditandatangani dengan Thailand sebanyak 307,000 tan metrik setahun dan negara itu sudah pun siap menyediakan stok bekalan seperti yang dijanjikan.

"Separuh bekalan sudah berada dalam negara dan selebihnya berada di tempat yang selamat di Bangkok yang tidak terlibat dengan banjir serta akan dibawa masuk dalam waktu terdekat," katanya.

Selain itu, Noh berkata negara tidak hanya bergantung kepada bekalan daripada Thailand sahaja, bekalan makanan tersebut turut diimport dari negara lain seperti India, Vietnam, Pakistan, Uruguay dan Argentina.

rice Jumlah bekalan beras dalam negara keseluruhan ialah sebanyak satu juta tan metrik dengan meliputi simpanan bekalan kerajaan, stok dagangan Bernas, stok pengilang, pemborong dan peruncit serta bekalan boleh bertahan untuk tempoh lima hingga enam bulan.

Noh berkata permohonan Bernas untuk menambah jumlah import beras sebanyak 200,000 tan metrik lagi sudah diluluskan, bagaimanapun kelulusan itu tidak kena mengena dengan situasi banjir di Thailand.

"Permohonan itu sudah lama sebelum kejadian banjir lagi dan Bernas akan mendapatkan bekalan itu dari negara-negara lain," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Thailand mengumumkan bekalan beras negara itu mungkin kekurangan 4 juta tan metrik ekoran bencana banjir yang disifatkan paling buruk melanda negara tersebut.

- Bernama

ADS