Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tindakan kerajaan negeri mengenakan bayaran tambahan 20 peratus terhadap hartanah di Pulau Melaka mengundang bantahan dari lebih 80 pemilik bangunan di pulau buatan manusia itu.

Bangunan rumah kedai dan apartmen di pulau berkenaan telah terbengkalai lebih 17 tahun sebelum kerajaan negeri mengambil alih projek berkenaan dan membangunkannya semula menerusi anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

NONE Bagaimanapun, tindakan mengenakan bayaran tambahan 20 peratus di atas harga asal bangunan berkenaan, yang bertujuan meliputi kos membaik pulih serta mengganti pelbagai bahagian bangunan yang dicuri, tidak mendapat sokongan pembeli.

Bagi menyuarakan bantahan dan ketidakpuasan hati mereka, sekumpulan 80 pembeli telah mengadakan satu protes aman serentak dengan majlis perasmian jualan bangunan baru yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Husin semalam.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, yang turut hadir bersama mereka, berkata, protes berkenaan adalah bagi mendesak kerajaan negeri supaya tidak mengenakan bayaran tambahan berkenaan.

Menurutnya, tindakan ini adalah tidak adil memandangkan ramai daripada mereka sudah menanggung beban kewangan, termasuk terpaksa membayar pinjaman bank, semenjak projek berkenaan terbengkalai lebih 17 tahun lalu.

"Setelah menanggung beban kewangan selama ini, adalah tidak adil mereka sekarang diminta membayar lagi untuk harta yang sudah sepatutnya menjadi milik mereka.

"Tambahan pula, laporan yang dikeluarkan 'liquidator' syarikat pemaju terdahulu jelas menunjukkan tiada kos tambahan untuk melengkapkan projek ini sebelum diserahkan kepada pemilik," katanya.

Sehubungan itu, menurut Sim, pemilik terbabit ingin bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, bagi menyuarakan sendiri permasalahan yang mereka hadapi, dengan harapan, kerajaan negeri akan mengabaikan bayaran tambahan 20 peratus itu.

Menurutnya, mereka telah beberapa kali cuba mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, termasuk menulis kepada setiausaha sulit beliau, tetapi tidak berjaya.

"Malahan saya juga berpeluang menyuarakan kebimbangan pembeli kepada Md Yunos dan saya berharap ini akan membawa satu keputusan yang baik bagi para pembeli," katanya.

ADS