Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sindiket IC': IGP tak terima apa-apa laporan lagi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar enggan mengulas dakwaan Pemuda PAS berhubung kegiatan satu kumpulan yang didakwa sindiket yang memberi kad pengenalan kepada warga asing.

"Saya tak terima apa-apa laporan lagi," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media di pusat latihan polis hari ini.

Pemuda PAS mendakwa telah mengesan dan mengepung kumpulan disyaki sindiket tersebut kelmarin di sebuah pusat peranginan di kawasan sekitar Putrajaya.

Dalam serbuan tersebut, Pemuda PAS telah mengepung seramai 240 pendatang asing yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih.

Sebelum ini, Pemuda PAS juga pernah menyerbu dua buah rumah berasingan di Paya Jaras di parlimen Subang dalam satu operasi Februari lalu.

Operasi berkenaan dijalankan untuk menangkap kumpulan sindiket yang juga didakwa mengedar kad pengenalan kepada warga asing.

Pemuda PAS mendakwa kegiatan itu berjalan rancak menjelang akhir September dan dibimbangi akan berterusan hingga Disember tahun ini - dengan andaian pilihan raya umum mungkin diadakan pada Februari atau Mac tahun depan.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian hari ini memetik ketua polis daerah Sepang, Imran Abdul Rahman menafikan dakwaan Pemuda PAS itu.

Beliau dilaporkan berkata selepas menjalankan siasatan didapati perkara itu tidak benar.

Akhbar itu memetik Imran sebagai berkata, maklumat yang diperolehi menunjukkan semua warga asing itu berada di pusat peranginan itu untuk menghadiri kursus keusahawanan.

ADS