Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin (kanan) semalam mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden semingu selepas Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh mengumumkan hasratnya.Peter Chin merupakan ahli parlimen Miri sementara Wong adalah ADUN Bawang Assan.
Chin yang juga setiausaha penganjur SUPP berkata beliau membuat keputusan itu berikutan gesaan daripada 306 pemimpin akar umbi dari 33 cawangan parti yang bermesyuarat di ibu pejabat parti semalam.
SUPP mempunyai 43 cawangan di seluruh Sarawak.
"Sekarang mereka merasakan adalah sesuai pada masanya untuk saya tidak menolak tanggungjawab ini tetapi menerimanya untuk menerajui parti," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin cawangan parti di ibu pejabat parti di Kuching, semalam.
Chin berkata ramai pemimpin akar umbi menghadiri perjumpaan tersebut dengan kehendak mereka sendiri, dan sukar baginya menolak atau menidakkan hasrat mereka.
Seramai 600 perwakilan akan menghadiri persidangan tiga setahun sekali itu yang akan diadakan dari 8 hingga 11 Dis yang dijangka membawa era baru kepada parti tertua di Sarawak itu.Ia cuba menawan hati pengundi keturunan Cina di kawasan bandar tetapi gagal berbuat demikian pada pilihan raya negeri April lalu.
Ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau akan membawa bendahari parti Datuk David Teng ke dalam pasukannya untuk bertanding jawatan parti, beliau berkata pada masa ini beliau belum lagi membentuk pasukan.
"Apa guna mempunyai pasukan," katanya dan menambah akhirnya ia menjadi tugas perwakilan yang menghadiri persidangan memilih calon untuk menerajui parti.
Teng yang juga bekas ADUN Repok berkata beliau tidak berminat bertanding jawatan tinggi parti tetapi akan membiarkan kepada perwakilan bagi membuat keputusan mengenai calon untuk bertanding.Pada 9 Okt lalu, Wong (kanan, berbaju biru) yang juga pengerusi SUPP cawangan Sibu mengumumkan beliau sedia bertanding jawatan presiden selepas diberi komitmen dan sokongan daripada pemimpin dan anggota cawangan utara, selatan dan tengah.
Sabtu lalu, beliau yang juga timbalan setiausaha agung parti membuat pengumuman bahawa pengerusi SUPP cawangan Senadin yang juga Menteri Muda Pembangunan Sosial (Sukan) dan Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin sebagai rakan sepasukannya.
Wong juga berkata mereka mendapat sokongan daripada beberapa orang lagi ADUN.
Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang kalah kepada calon DAP pada pilihan raya negeri yang lalu telah membayangkan beliau akan melepaskan jawatan pada persidangan tahunan itu nanti.SUPP yang merupakan parti komponen BN kalah 13 daripada 19 kerusi yang mereka bertanding, menyebabkan terdapat tuntutan supaya pemimpin baru menerajui parti.
- Bernama