Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berita Minggu mohon maaf kepada Kalimullah
Diterbitkan:  Oct 23, 2011 11:17 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Ahkbar berkaitan Umno, Berita Minggu hari ini membuat permohonan maaf kepada Pengerusi ECM Libra Financial Group Berhad, Datuk Seri Kalimullah Hassan.

NONE Permohonan maaf itu adalah berhubung penyiaran artikel pada 2 Oktober lalu mengenai dakwaan majlis makan malam individu-individu tertentu, termasuk Kalimullah ( kiri ) dan ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan ahli politik Singapura.

“Akhbar ini mengakui laporan berkenaan yang memetik Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Ruslan Kassim, adalah tidak berasas dan Berita Minggu sebagai media bertanggungjawab, sepatutnya melakukan usaha mengesahkan laporan itu sebelum menyiarkan artikel itu,” petik akhbar itu.

Menurut Berita Minggu , Kalimullah yang menerima permohonan berkenaan dalam reaksinya berkata, laporan yang mendakwa beliau berkemungkinan terbabit menganjurkan ‘makan malam dengan beberapa pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP)’ dan ‘membocorkan rahsia’ adalah satu fitnah serta mempersoalkan kesetiaannya sebagai rakyat Malaysia.

“Tiada apa yang salah atau menyalahi undang-undang mengenai perbuatan makan malam dengan pemimpin PAP atau mana-mana ahli politik lain. Sepanjang tempoh kerjaya saya sebagai wartawan dan ahli perniagaan, saya sudah bertemu dan makan malam bersama dengan pemimpin kanan kerajaan pelbagai negara seperti mana rakyat Malaysia lainnya. Saya juga masih berkawan dengan ramai kenalan dan kekal berhubung sehingga kini.

“Untuk membuat sebarang kesimpulan bagi motif pertemuan ini, selain perniagaan dan persahabatan peribadi adalah hasil minda tidak aktif dan kecil yang bertujuan mempersoalkan profesionalisme dan kesetiaan saya sebagai rakyat Malaysia dan satu cubaan untuk memburukkan dan mencemarkan nama baik serta reputasi saya.

“Saya berasa kesal kerana Berita Minggu yang pernah di bawah saya selaku Ketua Pengarang Kumpulan dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarahnya sehingga 2008, boleh menyiarkan laporan itu dengan hanya bersandar kenyataan tidak berasas itu.

“Paling kurang pun, mereka sepatutnya memeriksa fakta berkenaan dan menghubungi saya sebelum menyiarkan artikel itu sejajar amalan kewartawanan yang beretika,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar itu.

ADS