Harga binokular 'zoom' 29 kali lebih tinggi

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang ‘binokular marin’  atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.

Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827.

NONEIa juga didapati ‘terlebih bayar’ RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.

Barangan lain termasuk:

  • Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus)
  • Hand-held portable VHF Transceiver berharga RM1,561 pada harga RM4,324 (lebihan 177 peratus)
“Semakan Audit mendapati tiada bukti JTLM telah membuat kajian pasaran sewajarnya. Bagaimanapun pihak JTLM mempunyai anggaran harga jabatan yang tidak dapat dikenal pasti asas perkiraannya.

“Analisis Audit mendapati perbezaan harga yang ketara antara 177 peratus hingga 2,805 peratus terhadap kadar harga yang ditetapkan dalam kontrak berbanding anggara harga pasaran,” petik laporan itu.

NONEIni adalah antara perbezaan harga barangan yang dibeli jabatan itu, yang dikenal pasti Jabatan Audit Negara melebihi antara 177 peratus hingga 2,805 peratus berbanding harga pasaran.

"Mengikut perkiraan Audit, perbezaan harga sejumlah RM172,501 sepatutnya boleh dijimatkan dalam menguruskan perolehan ini, dan semakan Audit mendapati tiada bukti jabatan itu telah membuat kajian pasaran sewajarnya untuk membeli barangan tersebut," demikian menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut, hasil maklum balas daripada jabatan itu, kajian pasaran hanya dibuat berdasarkan pertanyaan lisan kepada Jabatan Perikanan Malaysia kerana pegawai yang menguruskan perolehan berkenaan tidak mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam bidang tersebut.

Selain itu, Jabatan Taman Laut Malaysia didapati membuat pembayaran penuh bagi beberapa peralatan yang dibekalkan kontraktor tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak.

Ini menyebabkan kerajaan terlebih bayar RM100,517 kepada kontraktor, bagaimanapun, bayaran itu tidak termasuk enjin utama dan kotak gear.

azlanLaporan itu juga menyatakan bayaran denda ke atas Syarikat Kejuruteraan Kapal Masai Sdn Bhd, yang diberikan tanggungjawab membina bot aluminium semua cuaca kerana gagal menyiapkan bot itu mengikut perjanjian, adalah lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Jabatan Taman Laut Malaysia sepatutnya memperoleh RM52,594.08 sebagai denda namun hanya mengutip RM23,792.56 iaitu kurang RM28,801.52.

Oleh itu, Audit berpendapat jabatan tersebut perlu mengutip balik baki denda daripada kontraktor berkenaan dengan segera.      

Jabatan Audit juga mencadangkan agar Jabatan Taman Laut Malaysia menilai setiap tender dengan teliti bagi memastikan harga yang ditawarkan dapat memberi nilai berbaloi dengan apa yang dibelanjakan kerajaan.

"Jabatan itu juga perlu menjalankan pemeriksaan semula terhadap semua syarat yang ditetapkan dalam kontrak, serta melaraskan pembayaran yang terlebih bayar bagi peralatan yang tidak dibekalkan, atau pembekalan tidak mengikut spesifikasi," kata laporan itu.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.