Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat akan menjamin untuk memberi keutamaan kepada penduduk dan bukannya kepada pemaju dalam isu membangunkan kawasan tradisi Melayu seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Jaminan berkenaan akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam manifesto Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur 2011.

hadi wang at land seminar "Jaminannya akan kita fikir, kita masukkan dalam manifesto kita. Maknanya hak rakyat akan kita utamakan kerana pemaju ini ada kepentingan. Yang lebih membimbang kita ialah ia dibayangi rasuah

"Oleh kerana itu mereka yang berkuasa ini bermati-matian mempertahankan pemaju kerana (langkah tersebut) menguntungkan pihak tertentu.

"Insya-Allah, Pakatan Rakyat akan hapuskan hal ini dan kita buktikan di empat negeri yang kita perintah, untuk membersihkan perkara rasuah supaya tidak boleh diguna oleh pemaju," katanya lagi

Beliau ditanya demikian memandangkan pembangkang tidak berjaya menghalang kerajaan daripada mengemukakan Rang Undang-undang Pembangunan Kampung Baru 2011 sehingga diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu.

Ditanya sama ada Pakatan akan memansuhkan undang-undang berkenaan sekiranya berjaya menubuh kerajaan persekutuan selepas pilihan raya akan datang, Hadi berkata: "Insya-Allah keadaan akan berubah."

"Di negara lain, apabila kerajaan buat sesuatu dia akan bentang kepada rakyat, dengar bantahan rakyat dulu.

"Ini tidak, terus buat (undang-undang) hingga rakyat terpinga-pinga. Tapi kita akan buat perubahan, insya-Allah," katanya lagi.

Kira-kira 200 orang anggota PAS daripada 40 kawasan hadir di konvensyen anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS itu.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid serta yang dipertua PAS Bandar Tun Razak, Ir Mohamad Najib Ahmad turut membentangkan kertas kerja di program berkenaan.

Tiga lagi pembentang kertas kerja ialah ketua Kampung Bandar Dalam, Ishak Surin, naib prengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, Mohd Nor Hassan serta wakil penduduk dari projek perumahan rakyat, Idris Andin.

ADS