Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) mendakwa, kedua-dua pihak ibu bapa dan kanak-kanak telah "musnah" ekoran tindakan kerajaan menafikan pilihan terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
"Selepas melaksanakan dasar ini selama sembilan tahun, semua guru Sains dan Matematik, patut mampu mengajarnya dalam kedua-dua bahasa dan dalam masa yang sama tiada kekurangan," kata Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim.
T
imbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.
Katanya, sistem pendidikan negara akan kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak mereka dalam dua mata pelajaran itu.
Dalam kenyataannya hari ini, Noor Azimah bagaimanapun berkata, jumlah sekolah yang memilih bahasa Inggeris sedikit dan akan lebih memudahkan menugaskan guru-guru berkaitan.
"Ia perlu ditangani dan tidak harus disapu ke bawah permaidani selepas membelanjakan RM3 bilion hasil titik peluh rakyat. Kami mahu penjelasan," kata Noor Azimah.
Katanya, selari dengan gagasan 1Malaysia yang dicanangkan, kerajaan perlu menunjukkan sekolah jenis itu dan memastikan "rakyat didahulukan", bukan "ibu bapa dan anak menjadi yang terakhir".
Sambil menegaskan bilangan kanak-kanak di sekolah seramai 5.4 juta, seperti bilangan ibu bapa mereka yang juga pengundi, Noor Azimah berkata, kerajaan terus memaksa dasar yang lebih rendah kepada kanak-kanak.
Katnaya, jika keputusan memansuhkan PPSMI sebelum ini tidak bersifat politikal, ibu bapa patut diberikan hak membuat pilihan.
"Jika ia berunsur politik, beri kami pilihan PPSMI di sekolah rendah dan menengah, dan kami akan beri kamu majoriti dua pertiga, yang sukar untuk kami.
"Jangan sampai undi ini kami beri pada pembangkang," katanya dengan nada amaran.
