Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PPSMI: PAGE mohon PM campur tangan
Diterbitkan:  Oct 31, 2011 4:05 PM
Dikemaskini: Nov 9, 2011 5:05 AM

Setelah kecewa rayuan mereka tidak dilayan oleh kementerian pelajaran, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) hari ini mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campurtangan bagi mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, berikutan itu pihaknya menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar perkara tersebut dipertimbangkan semula.

"Kita sudah serah memorandum tersebut yang diterima oleh pegawai khas Perdana Menteri dan dalam kandungannya kita mengatakan bahawa polisi PPSMI adalah cukup elok dan diterima masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Beliau berkata, pada 12 November ini, beberapa pihak ibu bapa akan mengadakan satu perkelahan di beberapa buah negeri bagi menunjukkan mereka serius dalam perkara tersebut.

"Jadi saya minta mereka yang terlibat dalam perkelahan tersebut membuatnya secara aman damai,” katanya.

PPSMI akan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun depan.

Buang masa

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyifatkan polemik mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai membuang masa dan harus dihentikan segera.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abdul Rani berkata, sebaliknya usaha perlu ditumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

"Semua pihak harus menerima pemansuhan PPSMI dengan lapang dada dan apa yang penting sekarang adalah pelan yang komprehensif di bawah sistem pendidikan negara untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu Sains dan Matematik.

"GPMS Kedah ingin mencadangkan agar hasil perbincangan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pendidikan dalam perkara ini dikongsi untuk pengetahuan orang ramai agar semua pihak boleh memberi syor yang sesuai demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, guru dan masyarakat perlu membantu kerajaan dengan memberi input untuk memastikan pelajar dapat menguasai ilmu berkenaan secara efektif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS