Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata projek  Pusat Feedlot Kebangsaan bernilai RM73.64 juta merupakan projek yang tidak berjaya walau dijelaskan sebaliknya oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar semalam.

NONE "Kita persoalkan sasaran yang menteri kata telah dipenuhi. Ternak 8,000 ekor lembu dalam masa tiga tahun ini, petani di kampung

mana-mana pun boleh buat. Tidak perlu ada RM250 juta," katanya dalam sidang media di bangunan parlimen petang ini.

Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd – salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Feedlot Kebangsaan – telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian, menurut Noh dalam jawapannya di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas perkara itu, Rafizi berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menetapkan sasaran supaya Pusat Feedlot Kebangsaan menyediakan sebanyak 276,000 ekor lembu feedlot setahun.

Beliau mendakwa, sasaran berkenaan boleh dilihat melalui kertas dasar projek berkenaan yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Mengikut RMK9, projek itu perlu ternak sekurang-kureang 60,000 ekor lembu, bina satu ladang komersil bebas dengan 20,000 ekor lembu setiap tahun, dan juga bina 310 ladang satelit dengan 600 ekor setahun (setiap ladang)," katanya lagi.

Katanya lagi, kertas dasar oleh kementerian menganggarkan kos

untuk memelihara 9,000 ekor lembu setahun hanya memerlukan modal sebanyak RM6.37 juta.

NONE Walhal, Noh dalam jawapannya semalam berkata projek berkenaan tidak menemui kegagalan memandangkan syarikat Agro Science berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.

"Jadi kalau tiga tahun, 8,000 (ekor perlukan)RM141 juta kita kira balik bersamaan 22 kali ganda kos yang diusahakan keluarga Datuk Seri Shahrizat ini, melebih angka anggaran kementerian pertanian sendiri."

Tambahnya, jumlah sasaran bilangan lembu itu juga selari dengan jumlah sasaran bekalan daging yang ditetapkan untuk Pusat Feedlot Kebangsaan – sebanyak 50,000 tan daging menjelang 2009 atau 40 peratus daripada permintaan daging Malaysia.

Rafizi turut membidas jawapan Noh bahawa tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan projek berkenaan kepada Agro Science.

"Menteri jawab tiada konflik kepentingan kerana ada enam syarikat terbabit. Tetapi ada perbezaan besar antara tender terbuka dengan enam pihak membuat pembentangan kepada kerajaan.

"Ianya bukan proses yang telus. Apa yang berlaku, ada enam syarikat menghubungi kerajaan buat cadangan (dan) menteri kata cadangan yang dibuat oleh (keluarga) menteri Datuk Shahrizat ini terbaik.

"Lainlah kalau kerajaan buat iklan besar 'ada (pinjaman) RM250 juta dan 500 ekar untuk pelihara lembu, siapa hendak pelihara lembu.' Itu (barulah) tender terbuka yang telus," katanya lagi.

Dalam sidang media sama, ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin turut menuntut Shahrizat menjelaskan kaitan projek berkenaan dengan keluarga menteri pembangunan wanita itu.

Katanya, sehingga hari ini Shahrizat masih belum menjelaskan kaitan berkenaan.

"Kita pertanggungjawabkan kepada Shahrizat sebagai menteri yang kita dapati telah beri projek ini kepada suami dan anak dia.

"Malah semalam menteri (pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar) ada menjawab seolah-olah mengiakan perkara itu tetapi tidak menjelaskan kaitan Shahrizat dengan projek feedlot ini," dakwanya.

ADS