Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Pelancongan siasat isu beli rak risalah
Diterbitkan:  Nov 8, 2011 6:31 AM
Dikemaskini: 11:22 PM

Kementerian Pelancongan sedang menyiasat isu pembelian 1,000 unit rak risalah Tahun Melawat Malaysia 2007 yang menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, bernilai RM1.95 juta.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Ong Hong Peng dalam satu kenyataan berkata satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan 5 Oktober lalu dan laporan penuh siasatan akan diserahkan kepada beliau pada 18 November.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pembayaran yang diluluskan Kementerian Kewangan ialah sebanyak RM1.7 juta iaitu bagi pembelian 873 unit rak yang diterima saja.

NONE Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan pembelian 1,000 unit rak risalah berkenaan dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Ia juga menyebut pihak Audit tidak dapat mengesahkan sama ada rak risalah berkenaan diedarkan sepenuhnya dengan disertakan risalah pelancongan.

Menyentuh aktiviti pengiklanan 2009 dan 2010, Dr Ong menjelaskan pembelian secara tempahan terus menjimatkan kos komisyen agensi (iaitu 15 peratus daripada kos pembelian media) berjumlah RM19.93 juta pada 2009 dan RM9.2 juta pada 2010, berbanding menggunakan khidmat agensi pengiklanan yang dilantik melalui tender terbuka.

"Langkah ini juga dapat membantu Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membuat rancangan perbelanjaan bagi 2009 dan 2010 dengan pengurusan kewangan yang lebih baik dan mengurangkan semua defisit tertunggak," katanya.

 - Bernama

ADS