SPRM serah siasatan projek Fidlot pada polis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes projek lembu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil untuk disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut suruhanjaya itu, keputusan itu dibuat setelah merujuk kepada bahagian perundangan dan pendakwaannya yang mengaklasifikasikan aduan yang diterima bawah kesalahan Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak PDRM," kenyataan itu dipetik.

"Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM (Akta Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009."

Kenyataan itu juga memaklumkan, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada pengadu yang bersetuju dengan tindakan itu.

NONESementara itu, NGO Jingga 13 sebagai pengadunya berkata, mereka dimaklumkan kes itu akan disiasat bawah Seksyen 409 melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekhidmat awam.

"Jingga 13 meminta agar pihak PDRM mengambil sikap telus dan profesional serta segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kes berprofil tinggi ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah dipecah amanah tanpa rasa bersalah; dan bertanggungjawab melakukan jenayah dan mengkhianati rakyat Malaysia," kata Penyelarasnya Fariz.

Pengadu: Prasangka berlarutan

NGO yang dikaitkan dengan PKR itu pada 11 November membuat laporan pada SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan pinjaman untuk membeli kondominium mewah RM9.8 juta One Menerung di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ia ekoran dakwaan PKR bahawa dana daripada pinjaman NFC kepada National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NLMC) digunakan untuk pembelian seunit projek berprestij itu.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa, tindakan syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu merupakan penyelewengan dan bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.

Menurut seksyen itu, penjawat awam atau agen yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan dengan hukuman sebatan dan denda.

azlanDalam kenyataannya hari ini, Fariz juga mengucapkan terima kasih atas komitmen SPRM yang bertindak profesional terhadap aduan pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha Jingga 13 Sharifuddin Shafi Muhammad pula mendesak Shahrizat meletakkan jawatan kerana penglibatan keluarganya didakwa "mendatangkan prasangka yang berlarutan".

Malah, katanya, "pendedahan lengkap" beberapa pemimpin PKR gagal dijawab dengan fakta oleh menteri yang didakwa bersikap berdolak dalik.

"Jingga 13 juga benar-benar amat hairan sehingga kini seluruh ahli Wanita Umno terus membisu dengan skandal NFC yang melibatkan ketuanya," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.