Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengundi dalam kawasan parlimen Hulu Langat menjadi kumpulan pertama untuk satu projek penilaian keberkesanan khidmat wakil rakyat – Laporan Rakyat.

Projek kajian statistikal itu digerakkan oleh NGO anak muda, UndiMsia dan juga institut kajian Centre for Public Policy Studies (CPPS).

Pengerusi CPPS, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, selain menjalankan kajian tersebut, projek itu juga bertujuan untuk mendidik pengundi supaya lebih mengambil berat tentang isu dan wakil rakyat yang dipilih.

"Pada masa ini, (pengundi) tidak mengambil bahagian secara serius dan proses demokrasi," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Laporan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu juga berkata, pengundi sering menyalahkan kerajaan dan wakil rakyat apabila prestasi wakil rakyat yang dipilih itu tidak seperti yang diharapkan.

"Sepatutnya kita salahkan diri sendiri kerana pilih mereka," katanya yang menambah atas dasar itulah pengundi berkenaan perlu menilai wakil rakyat yang dipilih melalui projek Laporan Rakyat.

Melalui kajian itu, pengundi akan diminta untuk menilai pandangan wakil rakyat mereka dalam isu jenayah, rasuah, demokrasi, pendidikan, pekerjaan, alam sekitar dan kebebasan maklumat.

Pengundi juga akan diminta menilai pandangan wakil rakyat berkenaan dalam isu kesamarataan gender, perkhidmatan kesihatan, harga makananan dan barangan, harga rumah, pengangkutan dan juga kesepaduan kaum.

Selain itu, pengundi turut ditanya sama ada mereka dapat bertemu dengan wakil rakyat dengan mudah, masalah yang dihadapi pengundi serta janji-janji yang telah dipenuhi oleh wakil rakyat berkenaan.

Soalan pertama yang ditanya melalui kad laporan itu ialah "siapakah ADUN anda."

Pengarah CPPS, Ng Yeen Seen pula berkata, soalan itu sendiri akan dapat memberi gambaran mengenai tahap perkhidmatan wakil rakyat berkenaan sekiranya pengundi memberi jawapan "tidak tahu."

Katanya, kajian awal yang dilakukan serta pertemuan bersama wakil rakyat kawasan tersebut mendapati wujudnya jurang yang luas di antara harapan wakil rakyat dan pengundi yang diwakili itu.

Oleh itu, wakil rakyat berkenaan juga akan mendapat keuntungan apabila mereka dapat mengetahui pandangan pengundi terhadap khidmat mereka, kata Ng lagi yang tidak menjangkakan sebarang masalah dalam mendapatkan kerjasama daripada wakil rakyat berkenaan di kawasan itu.

Projek berkenaan disasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 500 responden untuk parlimen Hulu Langat, tambahnya.

Salah seorang penggerak usaha tersebut, Edmund Bon pula berkata Hulu Langat dipilih kerana kawasan parlimen itu merupakan kawasan yang paling hampir dengan demografi pengundi Malaysia dengan pecahan 52.7 peratus pengundi Melayu, 36.2 peratus pengundi Cina dan 10.6 peratus pengundi India.

Kawasan Hulu Langat juga dipilih kerana kajian itu sendiri tidak memihak kepada mana-mana parti, kata aktivis hak asasi itu lagi.

Tambahnya, sesetengah pihak akan mengkritik kajian berkenaan sebagai satu usaha untuk menyerang atau mempromosi pemimpin tertentu sekiranya ia dilakukan di kawasan parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau di kawasan Ipoh Timur yang diwakili penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kawasan parlimen Hulu Langat juga menarik untuk dijadikan lapangan kajian kerana PAS merampas kawasan parlimen itu daripada BN dengan majoriti tipis kurang 5 peratus, seperti juga kawasan semi-urban Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Lagi pula, kawasan parlimen itu dikuasai PAS sedangkan dua daripada kawasan DUN itu dimenangi BN – Dusun Tua dan Semenyih, manakala DUN Kajang pula dimenangi PKR pada 2008, kata Edmund lagi.

Hasil kajian berkenaan dijangka akan dapat didedahkan menjelang Mac tahun depan.

ADS